Nafi sebagai Papagomo, Wan Muhammad Azri diminta perjelas gelaran di mahkamah - Utusan Malaysia

Nafi sebagai Papagomo, Wan Muhammad Azri diminta perjelas gelaran di mahkamah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Exco Pergerakan Pemuda  UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris perlu memberi penjelasan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung gelaran Papagomo yang merujuk kepada dirinya dalam kes saman fitnah berhubung dakwaan penyeludupan wang tunai RM2 juta ke Singapura.

Wan Muhammad Azri diperintah menjawab secara afidavit lapan soalan yang dikemukakan kepadanya dalam tempoh 14 hari selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Saman fitnah itu dikemukakan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya Clint Lim Way Chau selepas mereka dikaitkan dengan dakwaan penyeludupan wang ke negara jiran.

Wan Muhammad Azri menerusi penyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 November tahun lalu menafikan beliau dikenali sebagai Papagomo dan juga pemilik akaun Facebook atas nama Papa Azri. 

Ekoran itu, Pemimpin DAP tersebut dan anak lelakinya memfailkan permohonan interogatori pada 20 Mei lalu bagi mendapatkan perintah mahkamah agar Wan Muhammad Azri selaku defendan tunggal dalam kes saman itu menjawab lapan soalan yang dikemukakan melalui afidavit. 

Kedua-duanya selaku plaintif antara lain turut memohon Wan Muhammad Azri (defendan) memberi penjelasan berhubung akaun Facebook atas nama Papa Azri dan identiti individu bernama Datuk Seri Goh yang dinyatakan di dalam Facebook berkenaan.

Antara soalan yang turut dikemukakan ialah mengenai identiti `sumber yang boleh dipercayai’ yang dirujuk oleh defendan dalam hantaran tersebut serta kaitannya dengan Datuk Seri Goh.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Simon Murali yang mewakili kedua-dua plaintif selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Haslinda A. Raof yang dikendalikan secara dalam talian hari ini.

Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 13 Julai ini.

Menerusi penyataan tuntutan yang difailkan pada 15 Oktober tahun lalu, Guan Eng dan anaknya mendakwa defendan telah menerbitkan dan menyiarkan penyataan fitnah membabitkan mereka menerusi Facebook atas nama Papa Azri yang dibuat pada 14 Mac tahun lalu.

Saman itu pada asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Kedua-dua plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa pihak berkuasa Singapura telah menahan Way Chau atas kesalahan membawa masuk wang tunai RM2 juta ke negara itu tanpa membuat sebarang pengisytiharan selain mendakwa menipu seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk Seri Goh.

Dakwa mereka, kata-kata fitnah itu adalah tidak benar dan mencemarkan nama baik mereka selain mendakwa defendan gagal mengambil sebarang langkah untuk memastikan kebenaran kandungan penyataan fitnah sebelum menerbitkannya.

Dalam saman fitnah ini, Guan Eng dan anaknya menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan; faedah atas ganti rugi yang ditetapkan; kos serta perintah lain yang dianggap adil, wajar dan berpatutan oleh mahkamah.

Sementara itu, Wan Muhammad Azri menerusi penyataan pembelaannya menyatakan, plaintif-plaintif bertanggungjawab membuktikan bahawa dia pemilik akaun Facebook atas nama Papa Azri.

Menurut defendan, pernyataan yang didakwa fitnah itu adalah luas kerana tiada sebarang audio atau video yang dimuat naik yang menunjukkan ia merujuk kepada plaintif dan anaknya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya