1MDB: Pembelaan timbulkan teori rancangan jenayah - Utusan Malaysia

1MDB: Pembelaan timbulkan teori rancangan jenayah

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menimbulkan teori ‘rancangan jenayah’ dengan mendakwa bank Goldman Sachs, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Hilmi dan beberapa lagi individu berpakat untuk menyeleweng dana 1MDB.

Bagaimanapun, bekas CEO 1MDB yang menggantikan Shahrol Azral, Mohd. Hazem Abd. Rahman ketika menjawab soalan berkaitan teori tersebut hanya menyatakan, beliau tidak boleh memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

Beliau juga tidak boleh memberikan sebarang komen terhadap tindakan yang diambil oleh penyandang terdahulu yang cuba disifatkan sebagai bertindak cuai oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Terdahulu, Muhammad Shafee menimbulkan teori tersebut sewaktu menyoal balas saksi pendakwaan ke-10 itu berhubung tawaran opsyen untuk pengambilan 49 peratus saham ekuiti dalam 1MDB Energy Holdings Ltd. dan wang jaminan AS$577 juta bagi mendapatkan jaminan daripada International Petroleum Investment Corp (IPIC).

Muhammad Shafee: Saya cadangkan ini merupakan satu rancangan jenayah untuk menyeleweng hasil pengambilalihan 1MDB Energy (Langat) Limited dan 1MDB. Mereka yang terlibat ialah (Bank) Goldman Sachs yang bertindak bagi pihak Jho Low, Terence Geh (Ketua Pegawai Kewangan 1MDB), Jasmine Loo (pegawai bank Ambank), Shahrol Azral dan Azmi Tahir (Ketua Pegawai Kewangan).

Mohd. Hazem: Saya tidak boleh komen mengenai perkara ini.

Muhammad Shafee:Ini satu konspirasi untuk seleweng dana 1MDB. Awak setuju? Adakah ia wajar?

Mohd. Hazem: Saya tidak boleh beri sebarang komen.

Muhammad Shafee: Awak setuju perincian mengenai akaun Energy Langat dibuat secara rahsia? Penyata akaun dihantar ke alamat yang berbeza dengan alamat sebenar syarikat itu. Tiada sebarang alasan yang awak tahu untuk berbuat demikian, bukan?

Mohd. Hazem: Ya.

Didesak berkaitan dengan kedudukannya di 1MDB, Mohd. Hazem memberitahu, beliau tidak akan menerima sebarang jawatan di syarikat terbabit sekiranya mengetahui 1MDB terlibat dalam aktiviti haram.

Tambahnya, adalah sesuatu yang pelik sekiranya beliau tetap menerima jawatan di 1MDB walaupun mengetahui syarikat terbabit terlibat dengan transaksi menyalahi undang-undang itu.

Pada 20 September 2018, Najib, 68, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu juga didakwa tas 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.

Beliu turut didakwa atas lima pertuduhan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000), ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000), ORB Solutions Sdn. Bhd. (RM2,000,000) dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara tahun 2011 dan 2014.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya