Rasuah: Bekas juara silat dunia didenda RM3,000 - Utusan Malaysia

Rasuah: Bekas juara silat dunia didenda RM3,000

NOR Hasmizan Abdullah diiringi pegawai SPRM hadir di Mahkamah Shah Alam, Selangor atas kesalahan menerima rasuah RM1,000 tiga tahun lalu. - FOTO/SITI ROHAIZAH ZAINAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas juara silat dunia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada pemilik kafe siber tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nor Hasmizan Abdullah, 43, yang juga merupakan pembantu penguat kuasa di Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mahkamah turut memerintahkan Pemenang Pingat Emas dalam Kejuaraan Silat Dunia 2007 itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang tunai RM1,000 daripada pemilik kafe siber berusia 44 tahun sebagai balasan tindakan undang-undang tidak diambil terhadap premis tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Compusys Connection Enterprise di Jalan Klang Sentral antara pukul 1.50 hingga 2 pagi pada 21 Oktober 2017.

Mengikut pertuduhan pilihan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Rozilah Salleh dalam penghakimannya menegaskan, kesalahan dilakukan tertuduh ketika menjalankan tugasan amat serius dan tidak seharusnya mengambil kesempatan sebagai penguat kuasa.

“Sepatutnya kamu (tertuduh) beritahu sendiri kepada perasuah tidak boleh terima dan jangan ambil. Malah, kamu seharusnya melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Berapa jumlah yang diambil sama ada RM1,000 atau RM1 tetap rasuah. Rasuah yang diambil beri makan pada isteri, anak dan ibu. Kena ingat rasuah bakal memberi implikasi kepada negara dan jenayah akhir zaman.

“Apa yang berlaku adalah Allah sayangkan kamu dan mahu menghentikan segala perbuatan. Ambil pengajaran dan jangan lakukannya lagi,” katanya.

Sementara itu, Peguam, Aiman Abdul Rahman mewakili tertuduh menjelaskan bahawa anak guamnya telah menyesali dan insaf atas perbuatannya selain itu merupakan kesalahan pertamanya.

“Anak guam saya merupakan bekas juara silat sedunia 2007 telah menyertai MPK sejak 13 tahun  bermula sebagai kakitangan kontrak dengan gaji pokok RM2,200.

“Anak guam juga pernah dikenakan tindakan dalaman seperti larangan mengambil elaun kerja lebih masa, tiada kenaikan gaji dan pangkat susulan kes ini sejak 2017,” katanya.

Malah, Nor Hasmizan yang turut diberi kesempatan juga merayu agar mahkamah mengenakan denda tidak melebihi RM2,000 bagi mengelakkan dia kehilangan kerja.

“Sekarang zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sukar mencari kerja selain perlu menanggung isteri, anak-anak dan ibu,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menegaskan, tugasnya harus memastikan tertuduh termasuk orang awam patuhi undang-undang dan memohon hukuman sewajarnya.

“Sebagai penguat kuasa, tertuduh gagal melaksanakan amanah kerana menerima RM1,000 dengan membenarkan kafe siber tersebut beroperasi melebihi masa ditetapkan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Kesan kesalahan itu boleh mengundang anasir-anasir jahat yang membawa kepada jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.