Pengurus Kanan Pasdec bebas tuduhan pecah amanah - Utusan Malaysia

Pengurus Kanan Pasdec bebas tuduhan pecah amanah

AHMAD Rosdi Ismail (kiri) dilepas dan dibebaskan daripada lima tuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Pengurus Kanan Kewangan Pasdec Holdings Berhad, Ahmad Rosdi Ismail atas lima tuduhan pecah amanah yang didakwa dilakukannya pada 2014 hingga 2016.

Keputusan dibacakan hakim Siti Aminah Ghazali hari ini selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Setelah meneliti keterangan dan hujahan serta pembelaan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” ujar Siti Aminah ketika membacakan hujah penghakiman.

Pada 1 Februari tahun lalu, Ahmad Rosdi didakwa dihadapan hakim Mohamad Ghazali Mohd. Taib atas lima pertuduhan pecah amanah melibatkan nilai RM320,000.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Rosdi didakwa melakukan perbuatan itu pada 8 September 2014 membabitkan RM200,000 di Bank CIMB, Kompleks Teruntum di sini.

Tuduhan kedua hingga kelima, dia didakwa mengulangi perbuatan itu pada 24 April, 4 Jun dan 26 Oktober 2015 serta 21 Mac 2016 yang masing-masing melibatkan RM30,000.

Kelima-lima pertuduhan itu didakwa dilakukan Ahmad Rosdi di pejabat Pasdec Holdings Berhad, Tingkat 14, Menara Teruntum di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Adha Amir, manakala Ahmad Rosdi diwakili peguam Datuk Bastian Pius Verdagon. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya