PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdepan rasa kesunyian kerana kehilangan teman hidup, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang bersamanya selama kira-kira 70 tahun.
Menurut anaknya, Datuk Marina Mahathir, bapanya masih bersedih dengan pemergian Dr Siti Hasmah semalam, namun keadaan kesihatannya ketika ini adalah baik.
“Memang ayah sedih. Ini partner (pasangannya) selama 70 tahun. Dia cuma rasa kesunyian. “Jadi kami semua cuba menemani dia sebanyak yang boleh, siang dan malam,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi pusara Allahyarham Dr Siti Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, di sini, hari ini.
Beliau tiba pada jam 10.40 pagi dan meletakkan jambangan bunga di pusara ibunya itu.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun, semalam. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), sebelum berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani.
Marina berkata, ahli keluarga termasuk adik-beradik dan anak mereka bergilir-gilir menemani Dr Mahathir bagi memastikan beliau tidak bersendirian.
“Dia rasa sangat keseorangan sekarang, macam mana tidak sedih, ini pasangan dia selama 70 tahun,” katanya.
Marina berkata, kehilangan itu turut dirasai seluruh ahli keluarga yang sebelum ini sudah terbiasa melihat dan bersama Allahyarham di rumah.
“Kami semua rindukan ibu, kami sudah biasa melihatnya di rumah, tetapi sekarang susah nak percaya dia sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, Marina merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham termasuk yang hadir di masjid dan pusara, semalam.
“Saya berterima kasih kepada semua yang datang ke masjid dan ke tanah perkuburan semalam, malah hari ini pun masih ramai yang datang.
“Saya juga menerima beratus-ratus mesej di aplikasi WhatsApp dan tidak terdaya untuk menjawab semuanya buat masa ini.
“Tetapi saya dan seluruh keluarga amat terharu dengan semua mesej serta penghormatan yang diberikan kepada arwah ibu,” katanya.
Marina berkata, penghormatan itu lebih menyentuh hati keluarga apabila ramai menganggap Allahyarham seperti ibu mereka sendiri.
“Ada yang saya kenal dan ada yang tidak, tetapi mereka memberikan penghormatan kepada ibu kerana mereka anggap ibu saya sebagai ibu mereka juga,” katanya.
Ditanya sama ada Dr Mahathir masih mengasingkan diri daripada menerima kunjungan, beliau berkata, bapanya masih boleh menerima kunjungan, namun jumlah tetamu perlu dikawal.
“Ayah boleh menerima kunjungan, tetapi kena kawal sedikit. Tidak boleh terlalu ramai pada satu-satu masa,” katanya.











