ARAU: Guar Sanji Kampung Run yang bakal berlangsung pada 3 Januari depan bakal menampilkan keunikan tersendiri dengan peserta berpeluang menikmati keindahan suasana kampung dikelilingi sawah padi sambil berlari secara santai bersama keluarga.
Menariknya, peserta yang mengikuti program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Tambun Tulang Che Ok itu juga akan mengenakan pakaian tradisional semasa mengikuti acara larian tersebut.
Pengerusi JPKKP Kampung Tambun Tulang Che Ok, Asri Mat Isa berkata, program itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat di mana terdapat dua kategori dipertandingkan melibatkan acara tiga kilometer (km) Fun Walk dan enam km Fun Run.
“Program ini lebih berkonsepkan santai dan kita buka penyertaan buat semua lapisan masyarakat. Larian ini akan bermula di hadapan pejabat UMNO Bahagian Arau dan peserta akan masuk ke kawasan kampung di sini yang berlatar belakangkan sawah padi dan panorama indah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Asri berkata, peserta bakal merasai pengalaman berlari dalam suasana nyaman berikutan penganjuran program itu akan berlangsung semasa musim angin timur yang sinonim dengan negeri ini.
“Sepanjang laluan larian nanti, terdapat juga beberapa check point yang turut menyediakan pelbagai makanan tradisional termasuk persembahan kebudayaan.
“Guar Sanji ini adalah merupakan kawasan kampung tradisional dan suasananya pasti agak unik berbanding kawasan-kawasan lain semasa penganjuran program nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Asri berkata, buat masa ini, seramai 500 peserta telah membuat pendaftaran bagi mengikuti program itu dan pihaknya mensasarkan mendapat penglibatan lebih ramai penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Tambahnya, terdapat pelbagai hadiah menarik turut disediakan termasuk cabutan bertuah sebuah motosikal, selain terdapat juga barangan elektrik termasuk 20 hadiah saguhati.
“Penyertaan buat masa ini agak menggalakkan dan kita mengharapkan lebih ramai dapat turut sama bagi memeriahkan penganjuran program ini nanti,” katanya.-UTUSAN