PETALING JAYA: Seramai 10,000 peserta melibatkan golongan B40 dan belia luar bandar berjaya dilatih dan ditempatkan dalam pelbagai syarikat minyak dan gas tempatan serta antrabangsa.
Komitmen itu merupakan fokus utama SRC Global Recources Sdn. Bhd. yang menawarkan program latihan berkonsepkan ‘Place & Train’ iaitu pendekatan latihan yang menyeluruh dan berorientasikan penempatan kerja.
Menurut SRC Global Resources, menerusi program itu, peserta akan menjalani latihan teknikal berpandukan kepada keperluan sebenar industri dan teknologi semasa.
“Modul-modul latihan dirangka hasil kerjasama erat antara SRC dengan syarikat-syarikat minyak dan gas tempatan serta antarabangsa bagi memastikan setiap peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran, malah turut diberikan peluang penempatan kerja selepas tamat latihan.
“Program ini mencerminkan komitmen SRC untuk menjadi jambatan antara tenaga kerja belia dan majikan industri, serta memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui peningkatan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, seramai 60 peserta berjaya menamatkan latihan dalam bidang minyak dan gas menerusi pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Asnaf 2025 di bawah inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Kesemua mereka mengikuti tiga kursus berbeza iaitu pemasangan paip, peletupan dan lukisan serta juru ikat perancah di SRC Global Resources Sdn Bhd.
“Kesemua program itu dirangka berdasarkan permintaan sebenar industri dan direka agar selari dengan keperluan majikan, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran peserta sebaik sahaja tamat latihan.
“Usaha ini bukan sekadar memberi kemahiran semata-mata, tetapi lebih jauh lagi membawa misi memperkasakan komuniti asnaf, agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan, berdikari dan seterusnya mengalami transformasi daripada status penerima zakat kepada pembayar zakat.
“Ia merupakan satu lonjakan paradigma yang signifikan dalam mengangkat martabat asnaf dan memecahkan kitaran kemiskinan yang membelenggu generasi demi generasi,” katanya.

Lebih membanggakan, SRC Global Resources turut merancang langkah lebih progresif pada masa hadapan untuk membuka peluang penempatan pekerjaan di luar negara khususnya kepada peserta yang menunjukkan komitmen tinggi serta kesungguhan dalam membina kerjaya mereka.
Bagi tujuan itu, katanya, SRC telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tiara Ophir, menandakan permulaan kepada satu kerjasama strategik yang bertujuan memperkukuh jaringan latihan serta penempatan pekerjaan.
“Inisiatif itu bukan sahaja memperluas peluang pembangunan kemahiran, malah membuka lebih banyak laluan kepada para peserta untuk menembusi pasaran kerja di peringkat antarabangsa.
“Usaha ini membuka dimensi baharu kepada para peserta untuk mengembangkan potensi diri dan memperoleh pendapatan yang lebih stabil serta lumayan di peringkat antarabangsa,” katanya.