Bersyukur terima pencen penakat suami seminggu sebelum

Bersyukur terima pencen penakat suami seminggu sebelum Aidilfitri

NGWE Hee Sem (tiga dari kiri) menyampaikan pencen penakat dan faedah pengurusan jenazah Perkeso kepada Nurulasikin Ismail di Taman Saujana Permai, Bukit Katil, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kehilangan mengejut suami pada minggu kedua Ramadan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima Nurulasikin Ismail, 46, terutama ketika saat-saat akhir menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, kesedihan ibu tunggal kepada enam cahaya mata itu sedikit terubat selepas menerima pencen penakat arwah suaminya sebanyak RM1,418.75 sebulan dan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 secara sekali bayar.

Nurulasikin berkata, faedah daripada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu sedikit sebanyak membantunya dalam membuat persiapan Syawal, yang mana ini merupakan tahun pertama beraya tanpa ketua keluarga.

Ujarnya, suami, Saifulnizam Raza, 50, meninggal dunia secara mengejut akibat penyakit asma kronik pada 20 Mac lalu.

“Pada mulanya saya memang tidak tahu suami ada mencarum Perkeso kerana dia bekerja sendiri mengambil upah mengecat rumah dan membersihkan unap desa. Ibu mentua yang membantu buat semakan dan kami cuba memohon.

“Alhamdulillah ia berjaya, pencen penakat arwah suami diterima sebelum raya. Saya akan gunakan sebaiknya untuk meneruskan kehidupan dan membesarkan empat lagi anak yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Saujana Permai, Bukit Katil di sini.

Program Penyampaian Faedah Skuad Perkeso Prihatin di rumahnya telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar.

Sementara itu, Hee Sem berkata, Perkeso mengingatkan masyarakat sama ada bekerja sendiri atau bermajikan agar menyedari kepentingan mencarum bagi melindungi diri dan keluarga daripada musibah tidak dijangka.

“Saya berharap individu yang bekerja sendiri dan belum mencarum Perkeso dapat segera melakukannya bagi memastikan mereka dan keluarga dilindungi sekiranya kemalangan atau sakit ketika bekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×