Kanak-kanak terima saguhati RM5 solat Subuh berjemaah di masjid - Utusan Malaysia

Kanak-kanak terima saguhati RM5 solat Subuh berjemaah di masjid

SELESAI solat Subuh berjemaah, kanak-kanak digalakkan mendengar kuliah sebelum diberikan saguhati bernilai RM5 seorang, di Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Taman Cenderawasih di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sempena cuti persekolahan yang baharu bermula, Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Taman Cenderawasih di sini mengambil kesempatan memupuk golongan cilik menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid.

Sepanjang cuti sekolah selama tiga minggu sehingga 31 Disember ini, pihak masjid menyediakan sumbangan wang saku kepada kanak-kanak yang hadir menunaikan solat Subuh berjemaah.

Timbalan Pengerusi masjid tersebut, Ibrahim Mohd. Yunus Ismail berkata, kanak-kanak dan pelajar sekolah yang hadir berjemaah dan seterusnya mendengar kuliah Subuh akan menerima wang tunai RM5 seorang.

Menurutnya, pendekatan itu dapat menarik minat mereka untuk ke masjid dan dalam masa yang sama pihaknya dapat membuat sumbangan ikhlas.

“Walaupun cara ini dilihat seakan melanggar normal ternyata memberi kesan yang baik dalam menarik golongan cilik mula berjinak-jinak datang ke masjid.

“Untuk mendapatkan ganjaran itu, kanak-kanak perlu hadir ke masjid seawal pukul 5.40 pagi dan bersiap sedia untuk menunaikan solat sekali gus mendapatkan ilmu agama menerusi kuliah subuh.

“Pemberian wang ganjaran itu hasil sumbangan jemaah dan dana masjid yang sudah dipersetujui menerusi mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, menerusi penganjuran program jom solat seperti ini turut menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke masjid.

Jelasnya, secara tidak langsung nilai murni dan semangat cintakan masjid juga dapat diterapkan kepada semua.

“Antara kesan yang dapat dilihat, kita dapat mewujudkan kesedaran bukan sahaja kepada kanak-kanak supaya hadir ke masjid untuk berjemaah malah ibu bapa juga.

“Dengan mengalakkan ibu bapa menghantar anak-anak sekali gus mereka juga ke masjid bersolat Subuh berjemaah bersama-sama.

“Mudah-mudahan dengan aktiviti baharu di musim cuti sekolah ini akhirnya akan menjuruskan kepada pertambahan jemaah untuk datang solat di masjid,” katanya.

Sementara itu, pada hari pertama program tersebut semalam, kira-kira 40 orang kanak-kanak hadir bersolat jemaah Subuh berbanding sebelumnya dianggarkan kurang daripada 10 orang.

Selain daripada wang saku, kanak-kanak yang mencapai sasaran kehadiran penuh dijangkakan berpeluang mendapat hadiah khas seperti basikal daripada pihak masjid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya