Stadium Shah Alam, Masjid Negeri pampasan Pusat - Utusan Malaysia

Stadium Shah Alam, Masjid Negeri pampasan Pusat

Stadium Shah Alam
STADIUM Shah Alam pada zaman ‘kegemilangannya’ digunakan untuk kejohanan Piala Asia 2007 tetapi ia bakal diroboh dan digantikan dengan stadium yang lebih kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Stadium Shah Alam dan Masjid Negeri bukan sahaja menjadi mercu tanda Selangor tetapi mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana pembinaannya adalah sebahagian pampasan Pusat kepada negeri itu kerana menyerahkan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan.

Selain itu, stadium terbesar di Asia Tenggara itu pernah menjadi penanda aras terhadap kemajuan sukan negeri apabila Selangor melalui sukan bola sepaknya, Selangor FC atau Red Giants menduduki carta teratas ketika stadium itu meniti zaman kegemilangannya.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, jika kerajaan negeri meneruskan hasrat merobohkan Stadium Shah Alam ia menunjukkan pentadbiran negeri itu gagal mengurus sukan secara keseluruhan.

Menurut beliau, apa yang patut dilakukan kerajaan negeri perlu menguruskan stadium tersebut dan jika dibandingkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) stadium tersebut tiada masalah untuk diselenggara.

Kos selenggara

“Mungkin sekarang ini (kos selenggara) tinggi lagi, dahulu kita (stadium itu) kita memang selenggara melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dulu banyak buat program dan perlawanan bola sepak pula Selangor sentiasa menjadi johan yang mempunyai banyak hasil, masa itu saya menjadi Presiden FAM.

“Jadi, dahulu sokongan terhadap bola ramai, stadium selalu penuh sebab kita (Selangor) selalu champion dalam Piala Malaysia, jadi pendapatan memang tinggi, tak ada masalah untuk selenggara stadium ketika itu. Jadi, mereka kena urus semua sekali sukan, (baru boleh) selenggara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, muka depan akhbar ini memaparkan dakwaan Stadium Shah Alam yang mampu memuatkan sehingga 80,300 penonton itu akan diroboh dan bakal digantikan dengan stadium berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton.

Bukan sahaja stadium tersebut, malah seluruh Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang merangkumi beberapa kemudahan seperti Stadium Malawati dan Stadium Mini serta 5,500 ruang letak kereta dikatakan turut menerima nasib sama dengan kawasan tersebut kemudian akan dibangunkan secara menyeluruh.

Merobohkan

Hujah merobohkan stadium dan KSSA adalah kawasan terlalu besar dan tidak praktikal untuk dijaga dan diselenggara.

Dalam pada itu, Muhammad yang menjadi menteri besar selama 11 tahun dan menyaksikan pembinaan Stadium Shah Alam pada 1992 menegaskan, bangunan itu adalah bersejarah dan perlu dikekalkan.

Ini kerana, menurut beliau, pembinaan stadium tersebut serta bangunan-bangunan kerajaan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Menteri Besar, Masjid Negeri dan kemudahan lain seperti Lebuhraya Persekutuan adalah balasan kepada penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan.

“Sejarah pembinaannya ada kaitan dengan Kuala Lumpur. Dahulu ibu negeri Selangor dekat Kuala Lumpur, apabila dijadikan Wilayah Persekutuan, itu ada dalam perjanjian penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai pampasan, kerajaan membina Shah Alam dengan segala kemudahan. Jadi kerajaan yang kemudian ini perlu tengok dahulu isi-isi perjanjian pembinaan di Shah Alam (stadium), mana boleh hendak dirobohkan, itu dikira sebagai kawasan-kawasan bersejarah.

“Pasti rakyat Selangor tak akan berpuas hati bila kerajaan negeri buat macam ini. Sudahlah bola pun sekarang tak maju, merosot. Apakah orang di Selangor tak suka sukan? Kenapa buat macam itu?” soalnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN