KLANG: Penghidap penyakit misteri, Ahmad Shahrul Nizam Nayan, 54, bakal menikmati Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM500 seperti dimaklumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menziarahinya di Teluk Gong di sini, hari ini.
Ahmad Shahrul Nizam yang menderita masalah perut membesar dan peningkatan berat badan mendadak itu akan menikmati elaun tersebut bersama pencen ilatnya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,900.21.
Menurut Timbalan Pengurus Perkeso Klang, Ahmad Haswadi Hashim, beliau juga akan meneliti keperluan lain kesihatannya yang boleh disalurkan kepada penerima tersebut termasuk kepada penjaganya.
“Kita akan mencadangkan kepada pihak ibu pejabat untuk memperuntukkan Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM500 bagi kos menjaga Ahmad Shahrul Nizam. Maknanya bayaran bulanan menjadi RM1,900.21 bila ia diluluskan nanti.
“Selain itu, hari ini, kita menyumbang sedikit barang makanan dan menyampaikan lapik belakang berisi udara untuk keselesaan pesakit berbaring,” katanya ketika berkunjung ke rumah Ahmad Shahrul Nizam bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, seorang bekas pekerja pengendali peralatan kontena di Pelabuhan Utara menderita penyakit misteri sejak tujuh tahun lalu yang menyebabkan perutnya dipenuhi air dan membesar sehingga ukur lilit melebihi 78 inci.
Ahmad Shahrul Nizam yang tinggal di Kampung Nelayan Teluk Gong berkata, penyakit tersebut menyebabkan dia hanya mampu terbaring di katil kerana sudah tidak mampu berdiri seperti sebelum ini.
Ahmad Haswadi berkata, pihaknya turut bersedia membantu Ahmad Shahrul Nizam untuk mendapatkan bantuan lain bagi memastikan penyakitnya tidak menjadi lebih mudarat.
Dalam pada itu, Azmizam memaklumkan, beliau akan menemui pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menyemak semula keperluan perubatan yang diperlukan Ahmad Shahrul Nizam.
“Buat masa ini, dia menerima bantuan perubatan RM480. Saya lihat keadaan pesakit makin melarat disebabkan perutnya makin membesar sejak saya menemuinya kali terakhir beberapa bulan lalu.
“Saya berharap pihak LZS menaikkan bantuan perubatan selaras keperluan semasa. Jika ada pihak yang ingin membantu, boleh juga membantu sama ada daripada aspek perubatan mahupun kebajikan,”katanya. –UTUSAN ONLINE