Kerajaan kaji kos sara hidup pelajar Malaysia  di UK, Ireland - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji kos sara hidup pelajar Malaysia  di UK, Ireland

MAHDZIR Khalid menyampaikan sumbangan bubur lambuk anjuran KPLB dan RISDA di depan Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah di Kuala Nerang, Padang Terap hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP:  Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang melakukan kajian   mengenai peningkatan kos sara hidup ditanggung pelajar Malaysia  di United Kingdom (UK) dan Ireland.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sedar mengenai kos sara hidup yang tinggi di kedua-dua negara tersebut sehingga memberi kesan kepada pelajar Malaysia di sana.

Menurut beliau, hasil kajian lengkap yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat akan dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.

“Sekarang ini kalau mahasiswa di peringkat Ijazah sarjana muda, baki yang tinggal pada mereka selepas ditolak yuran dan sebagainya kira-kira 800 pound (RM4,376) sebulan. Dengan wang itulah mereka perlu menyewa rumah, makan, menguruskan bil utiliti dan pengangkutan.

“Dengan kos utiliti di UK juga meningkat, jadi ini sesuatu yang harus kita kaji. Selepas memperolehi hasil kajian dalam masa terdekat, kita akan bawa perinciannya kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas mengedarkan bubur lambuk sumbangan KPLB dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di depan Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah di Kuala Nerang, di sini, hari ini.

Peningkatan

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan peningkatan 54 peratus had harga tenaga di UK yang turut menjejaskan jutaan rakyat di negara itu.

Menurut laporan agensi berita BBC, kenaikan itu mengakibatkan isi rumah secara purata membayar gas dan elektrik sebanyak 1,971 pound (RM10,772) setahun.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan Negara UK & Eire (BPN UKE) semalam menggesa supaya kerajaan menstruktur semula elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang tidak berubah sejak 2012.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, selain MARA, kajian itu turut dibuat bersama penaja-penaja lain.

“Dengan kadar baki elaun yang ada sekarang, kalangan pelajar itu mungkin terpaksa melakukan banyak perkara untuk berjimat.

“Kalau kos sewaan meningkat contohnya, mereka mungkin terpaksa menyewa rumah dengan kapasiti yang lebih ramai menyebabkan keadaan menjadi lebih sempit,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya