Berbuka sambil lihat matahari terbenam di Sungai Kelantan - Utusan Malaysia

Berbuka sambil lihat matahari terbenam di Sungai Kelantan

ORANG ramai tidak melepaskan peluang berbuka puasa di Dataran Lembah Sireh yang terletak di tebing Sungai Kelantan, Kota Bharu. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Berbuka puasa sambil melihat matahari terbenam di Dataran Lembah Sireh berhampiran tebing Sungai Kelantan, di sini menjadi trend terbaharu dalam kalangan rakyat negeri ini sejak awal Ramadan lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, kawasan lapang itu sesak dengan ribuan pengunjung yang datang seawal pukul 4.30 petang untuk menghampar tikar atau kain alas bagi ‘menanda’ kawasan masing-masing.

Difahamkan, selepas tular di media sosial minggu lalu, ada yang sanggup datang dari jauh seperti Pasir Puteh dan Tanah Merah bersama rakan atau keluarga semata-mata mahu berbuka sambil menikmati panorama senja di situ.

Penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Muhammad Noor Aiman Mat Hassan, 22, berkata, dia membawa rakan kampus dari luar Kelantan ke situ untuk memperkenalkan lokasi menarik di negeri ini.

“Kami beli juadah di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhamad IV sebelum bawa makanan tersebut ke Dataran Lembah Sireh untuk berbuka puasa.

“Tak sangka tebing Sungai Kelantan padat dengan orang ramai awal-awal lagi tetapi pengunjung tetap berpusu-pusu masuk ke situ sehingga melimpah ke kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, rakannya, Puteri Nur Anis Megat Jaafar, 23, berkata, dia terkejut melihat ribuan pengunjung yang membanjiri Dataran Lembah Sireh bersama hamparan tikar masing-masing untuk berbuka puasa di situ.

“Kali pertama berbuka puasa di kawasan lapang membangkitkan rasa teruja. Saya juga seronok melihat suasana meriah namun semua masih mengekalkan jarak dan amalkan kebiasaan baharu bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN