TELUK INTAN: Meskipun tidak lagi merasai belaian kasih ibu bapa, tujuh beradik yatim piatu di Kampung Bahagia di sini tidak mahu terus berduka dengan peristiwa pemergian orang yang paling mereka sayang itu.
Tujuh beradik itu yang kini dijaga oleh bapa saudara mereka di Kampung Bahagia di sini pertama kali menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sebagai yatim piatu.
Menurut Nurallesyah Balqis Mohd. Azman, 18, sebagai kakak yang sulung, dia perlu menjaga semua keperluan adik beradiknya dan gembira kerana sepanjang bulan Ramadan, semua adik-adiknya berpuasa kecuali adik bongsunya, Muhammad Harraz Erfan yang berusia lima tahun.
“Diharap baju raya ini menceriakan saya dan adik beradik menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Kami mahu menyambut hari raya dengan gembira walaupun sudah kehilangan ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum itu, ketujuh-tujuh mereka menerima sumbangan baju raya daripada Kelab Sukan dan Rekreasi Central Medicare Sdn. Bhd.
Dia bersyukur kerana masih ada pihak yang mengambil berat terhadap nasib mereka terutama menyediakan persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Selain Nurallesyah Balqis, adik beradik lain ialah Nur Alleyana Darwina, 15; Nurallesyazwani Sofea, 13; Nurallyqalesyah Damia, 11; Nurallyfarisyah Najwa, 9; Nurallyshafirah Umairah, 7, dan Muhammad Harraz Erfan, 5.
Bapa tujuh beradik itu, Mohd. Azman Tabri, 42, meninggal dunia pada 2019 dan pada Jun lalu, ibu mereka, Noor Suidah Omar, 43, pula meninggal dunia akibat masalah kesihatan.
Mengenang kembali kisah semasa ibu mereka masih ada, Nurallesyah berkata, emak sering membuat pelbagai kuih sejuk beku dan dijual di sekitar Teluk Intan untuk menambah pendapatan keluarga.
“Kini semuanya tinggal kenangan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Central Medicare Sdn.Bhd, Zainul Arifin Kaliwon berkata, pihaknya mengadakan program santuni anak yatim piatu sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri di pusat membeli belah Arked Man di sini.
Menurutnya, sebanyak 19 orang dipilih menyertai pada program itu dengan mereka dibelikan baju raya.
“Kami berharap sumbangan ini memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada mereka semasa Ramadan dan menjelang Aidilfitri,” katanya. –UTUSAN ONLINE