PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan untuk menggunakan MyOne Channel System (MyOCS) bagi urusan kemasukan pembantu rumah dari Indonesia perlu dipertimbangkan semula kerana ia dilihat bercelaru dan meragukan.
MyOCS adalah sistem yang dibangunkan sebuah syarikat swasta, 3S Malaysia dengan pengiktirafan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, sistem itu dikatakan bakal ‘mengambil alih’ tugas agensi pengambilan pekerja asing di negara ini sepenuhnya iaitu dari amah itu direkrut di Indonesia sehingga menyertai majikan masing-masing.
Sedangkan, menurut beliau, agensi-agensi pengambilan pekerja asing berdaftar di negara ini telah pun diiktiraf dan mempunyai rekod dengan Kedutaan Indonesia sebagai pihak yang dibenarkan menjadi fasilitator urusan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) itu.
“Syarikat yang mengendalikan sistem ini sudah memberikan penerangan kepada kami berhubung sistem ini bagaimana proses kemasukan pembantu rumah ke Malaysia melalui aplikasi berkenaan dan dikatakan sistem ini telah dipersetujui kerajaan.
“Sedangkan, sistem seumpamanya sudah pun ada iaitu Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) bagi kemasukan pekerja asing dari negara-negara sumber lain, apatah lagi ia belum dipersetujui Kerajaan Indonesia untuk diintegrasikan dengan sistem negara mereka,” katanya di sini semalam.
Sukumaran berkata, aliran proses kemasukan amah melalui sistem ini juga dilihat tidak betul kerana setiap amah yang mahu direkrut majikan perlu membuat bayaran penuh tanpa apa-apa jaminan ganti rugi walaupun ‘bayang’ amah itu belum nampak lagi.
Beliau menjelaskan, operasi sistem ini adalah bertentangan dengan cara yang dilaksanakan agensi-agensi pengambilan pekerja asing berdaftar kerana majikan tidak perlu membayar penuh selagi urusan kemasukan, dokumentasi dan pendaftaran dengan pihak kedutaan belum diselesaikan.
“Kita amat tidak setuju bayaran penuh perlu dibuat awal, apa jaminan mereka kalau PDI itu tidak sampai ke Malaysia dan siapa yang akan bayar ganti rugi terhadap sejumlah wang yang dibayar oleh majikan?” soalnya.
Justeru, pihaknya meragui pembangunan sistem ini dan siapa di sebalik syarikat berkenaan yang cuba mengaut keuntungan dengan cara salah.
Apatah lagi, katanya, sistem itu juga menetapkan syarat setiap PDI yang dibawa masuk perlu menjalani latihan dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dalam tempoh sehingga lima hari dan segala perbelanjaan penyaraan PDI bagi tujuan itu perlu ditanggung majikan.
“Sudah tentu kos akan meningkat lagi. Jika Duta Indonesia memberitahu kos pengambilan amah mencecah RM15,000 tanpa belum disebut perincian kos, kita khuatir ada lagi tambahan bayaran lain bagi perkara-perkara yang tidak dinyatakan,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya sudah menghantar surat kepada syarikat berkenaan sebagai bantahan sistem ini walaupun pada dasarnya bersetuju pembangunan satu sistem untuk membawa masuk amah sebagaimana yang turut dihasratkan kerajaan Indonesia.
Katanya, sistem ini belum ada tempoh percubaan dengan sistem Kerajaan Indonesia yang difahamkan mengambil masa lebih kurang tiga hingga empat bulan lagi untuk sistem ini diperhalusi dan berfungsi sapertimana yang dikehendaki.
“Jadi, kalau kita menunggu pembangunan sistem tersebut, ia akan mengambil masa yang panjang lagi untuk kemasukan tenaga kerja Indonesia ini.
“Lagipun majikan-majikan di Malaysia tidak begitu setuju dengan sistem ini yang dikendalikan syarikat swasta di mana segala butir-butir peribadi mereka diberikan kepada pihak ketiga bukannya kerajaan. Jaminan tidak cukup sepenuhnya,” katanya. –UTUSAN ONLINE