BAYAN LEPAS: Musim cuti sekolah sepatutnya menjadi waktu paling sibuk buat pengusaha aktiviti sukan lasak Pantai Esen ATV Extreme Park, di Permatang Damar Laut di sini, selepas perniagaan mereka ‘meledak’ tahun lalu gara-gara tular dalam media sosial.
Bagaimanapun, peningkatan kes jangkitan Covid-19 menyebabkan perniagaan sukan kenderaan lasak (ATV) yang diusahakan oleh Mohd. Zuhair Hizami Mohd. Zainol Abidin, 30, terjejas.
Mohd. Zuhair berkata, perniagaan sukan lasak itu sebelum ini mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pelanggan ketika diperkenal sekitar Julai tahun lalu.
“Namun, sejak Februari lalu, perniagaan kami agak perlahan kerana kes Covid-19 meningkat semula di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang.
“Keadaan ini berlanjutan hingga awal bulan ini. Tempahan ada namun tidak serancak seperti tahun lalu kerana ramai pelancong mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya di sini, semalam.
Menurut Mohd. Zuhair, pasukannya harus bersiap sedia dengan pembatalan tempahan daripada pelanggan pada saat-saat akhir.
“Sekitar 10 peratus pelanggan menghubungi saya untuk membatalkan tempahan atas pelbagai sebab termasuk ada yang perlu menjalani kuarantin.
“Pasukan kami akur kerana ia adalah lumrah perniagaan ketika musim pandemik ini, ada naik dan surut dalam perniagaan,” katanya.
Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 ditetapkan Kementerian Kesihatan sentiasa dititikberatkan oleh pasukannya bagi memastikan keselamatan pelanggan.
“ATV sentiasa disanitasi dan pelanggan diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang bermain ATV ini dengan diselia oleh ahli pasukan kami.
“Malah pelanggan juga sentiasa diingatkan supaya kerap menggunakan sanitasi serta menjaga jarak fizikal masing-masing ketika beriadah,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, ketika ini pasukan mereka menumpukan pada pakej keluarga yang baharu sahaja diperkenal yang mana hanya ahli keluarga sahaja dibenarkan beriadah bersama ATV.
”Cara ini lebih digemari pada masa ini memandangkan ia lebih eksklusif dan selamat untuk pelanggan semasa kes sedang meningkat,” katanya. –UTUSAN ONLINE