PETALING JAYA: Biarpun penularan Covid-19 hampir dua tahun melumpuhkan banyak sektor ekonomi, seorang wanita tetap gigih sehingga berjaya mencipta produk mi segera berasaskan safron.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sarah Ahmad Nafiah berkata, dia pada awalnya hanya bermula sebagai percubaan untuk membantu keluarga kemudiannya nekad mengasaskan produk berkenaan bagi menggalakkan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat di negara ini.
Selain itu katanya, makanan tersebut menjadi satu keperluan dan mahu mengubah persepsi sebelum ini kononnya produk makanan mi segera tidak menyihatkan.
“Saya terfikir mengapa tidak hasilkan satu produk mi segera yang berkhasiat. Lalu saya cuba untuk hasilkan bahan produk Makemi ini menggunakan perahan jus safron iaitu sejenis bunga dalam adunan tepung tanpa menggunakan bahan kimia selain tepung tanpa asid peluntur.
“Apabila hasil menjadi dan menerima respons positif daripada rakan-rakan saya tidak menoleh ke belakang lagi. Lebih-lebih lagi apabila turut berniat untuk membantu keluarga,” katanya baru-baru ini.
Tambah Sarah, dia berjaya menjual hampir 10,000 karton produk itu dengan pelbagai perisa antaranya tomyam kelapa, kari santan asli dan sup ayam kicap sejak dipasarkan pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Sarah berkata, dia turut berdepan detik kesukaran dalam perniagaan dalam tempoh penularan Covid-19.
“Kami berdepan dengan kekangan untuk mempromosikan jualan secara fizikal dan ia satu cabaran yang agak perit.
“Namun, apa yang penting kekentalan dalam diri untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan perlu diterapkan dalam semua orang lebih-lebih lagi golongan wanita,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE