GEORGETOWN: Pernah bertugas sebagai pramugari selama lebih tiga tahun, Hana Batrisya Zainol, 24, yang kini beralih arah kepada perniagaan nasi lemak mengimpikan jenama Nasi Lemak Wakzee dapat dinikmati di awan biru.
Biarpun masih baharu diperkenalkan, Nasi Lemak Wakzee yang diusahakan Hana Batrisya bersama suami, Muhammad Nur Azizee Roslan, 25, pantas menarik perhatian penggemar makanan popular itu termasuk menjadi bualan pengguna media sosial.
Menurut Anak sulung daripada dua beradik itu, dia dan suami mula menjual nasi lemak pada Februari tahun lalu selepas syarikat penerbangan tempatnya dan suami mencari rezeki melaksanakan pemberhentian pekerja pada 2020.
Tambahnya, idea untuk menjalankan perniagaan nasi lemak itu bermula apabila suaminya amat menggemari makanan popular rakyat Malaysia itu dan ayah mentuanya turut mendorong mereka mencuba menjual makanan itu selepas kehilangan pekerjaan.
“Resipi nasi lemak ini datang daripada olahan ibu saya Wartini, 48, serta ibu mentua saya, Maslin Faisal, 48.
“Selepas menjalankan pelbagai percubaan, saya akhirnya dapat menghasilkan nasi lemak dan sambal yang saya yakin dapat menepati cita rasa pelanggan daripada pelbagai kaum kerana makanan ini adalah menu popular rakyat negara ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Makanan MS, Jalan Macalister, di sini hari ini.
Hana Batrisya yang turut mahir berkomunikasi dalam bahasa Mandarin dan Hokkien itu mengakui, pada awal perniagaan jualan nasi lemaknya kurang mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan itu.
“Dalam tempoh tiga bulan pertama, setiap hari lebih 60 bungkus nasi lemak saya akan sedekahkan sahaja kerana tidak habis dijual.
“Namun, kini saya dan suami bersyukur kerana pelanggan telah mengenali kami yang berniaga di Pusat Makanan MS di sini dan pada hujung minggu, kira-kira 50 kilogram nasi lemak dapat dijual,” katanya yang turut dibantu ayahnya, Hassan Koay, 53, dan ibunya di gerai mereka.
Sebagai seorang bekas pramugari, Hana Batrisya berkata, dia tidak menafikan ada kalanya rindu untuk kembali bertugas di awan biru, namun pada masa ini mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan terlebih dahulu.
“Jika saya tidak dapat kembali bertugas selepas ini, memadai jika jenama Nasi Lemak Wakzee yang dapat menemui pelanggan di awan biru.
“Memang banyak yang perlu kami lakukan untuk membolehkan jenama ini dijual di atas kapal terbang, namun kami bersedia untuk memperbaiki mutu dan kualiti nasi lemak ini pada masa depan,” katanya. –UTUSAN ONLINE