Anak muda terlebih seronok, terpendam lama akibat PKP - Zahidi - Utusan Malaysia

Anak muda terlebih seronok, terpendam lama akibat PKP – Zahidi

ZAHIDI Zainul Abidin (kiri) mendengar taklimat yang disampaikan ketika mengadakan lawatan ke Pusat Media PRN Johor di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menasihatkan pengunjung program Riuh Ek! agar tidak terlalu seronok dan bersederhana selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, insiden video tular yang menunjukkan sekumpulan anak muda berjoget sakan dalam program industri kreatif anjuran kementerian itu diyakini tidak akan berulang. 

Pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan, sebaliknya memberi nasihat sahaja selain menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan. 

“Program Riuh Ek! adalah program yang kita adakan bagi meningkatkan industri kreatif dalam kalangan rakyat sebagai salah satu pendapatan untuk tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Tetapi, program yang baru-baru ini, kita lihat, mendapat sambutan yang cukup hebat. Jadi, masalah apabila anak muda terlebih seronok akibat terpendam lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Covid-19. 

“Ini menyebabkan berlaku perkara yang di luar kawalan dan melanggar SOP. Oleh itu, kita nasihatkan supaya perkara ini dapat dikawal dan kalau ada tindakan luar kawalan, itu kita serah pada polis untuk mengambil tindakan,” katanya ketika melawat Pusat Media Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini. 

Video yang tular baru-baru ini menunjukkan aksi sekumpulan pengunjung anak muda yang berseronok termasuk menyanyi dan menari tanpa mempedulikan penjarakan sosial mahupun bimbang berlaku penularan Covid-19.

Difahamkan, video yang tular itu menunjukkan sekumpulan pengunjung jelajah Program Riuh Ek! Keluarga Malaysia di Ayer Hitam bersuka-ria tanpa menghiraukan SOP.

Program itu diadakan selama tiga hari sehingga semalam bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan dan akan diteruskan lagi membabitkan 14 siri jelajah di seluruh negara.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, tidak ada tindakan yang diambil oleh kementerian selari dengan dasar keterbukaan media dan sebagainya.

Tambahnya, terdapat juga individu yang menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan mengganggu ketenteraman awam.

“Walaupun kita mendapat ribuan aduan mengenai mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, menghina pemimpin dan sebagainya, kebanyakannya kita hanya berikan nasihat. Dalam ribuan diterima, tak sampai 300 yang kita siasat, kita bukanlah nak jadi kerajaan yang hanya ambil tindakan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN