PETALING JAYA: Kerajaan disaran bekerjasama dengan golongan agamawan yang disifatkan mampu membantu meyakinkan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, sokongan golongan agamawan terhadap program vaksinasi penting kerana pandangan mereka sering dihormati dan diterima oleh masyarakat.
Namun, menurut beliau, jika ada pihak tertentu yang menyebarkan sentimen negatif, ia akan memberikan kesan besar kepada kadar peratusan vaksinasi kanak-kanak di negara ini.
Berita berkaitan:
“Ada pihak-pihak tertentu yang berstatus selebriti di media sosial, apabila mereka bercakap, masyarakat akan percaya, tetapi jika tidak mempunyai pengetahuan, tidak perlu bercakap mengenai vaksin. Fatwa mengenai vaksin perlu mereka hormati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan fatwa.
“Di sini, kerajaan perlu mengadakan kerjasama dengan agamawan yang menyokong vaksinasi, bagi meyakinkan ibu bapa supaya membawa anak-anak mengambil vaksin,” katanya.
Kadar PICKids
Kata beliau, salah satu faktor utama kadar PICKids rendah kerana penyebaran maklumat kurang tepat sehingga menyebabkan ibu bapa ragu-ragu, mengambil pendirian tunggu dan lihat, sebelum akhirnya enggan membenarkan anak-anak menerima suntikan vaksin.
“Dengan negara akan memasuki fasa endemik, mereka akan fikir keadaan sudah bertambah baik secara umum dan menganggap tidak perlu lagi ambil vaksin, sedangkan kadar kemasukan hospital di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini semakin meningkat.
“Ada juga pegawai-pegawai perubatan yang menyebarkan maklumat tidak tepat, tetapi mereka bukan pegawai perubatan kanak-kanak ataupun individu yang pakar bidang kanak-kanak. Disebabkan itu pakar-pakar kanak-kanak juga perlu turun padang,” katanya.
Malina mengulas mengenai kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa terdapat 600,000 temu janji PICKids yang melibatkan kanak-kanak berumur sehingga 11 tahun tidak dipatuhi oleh ibu bapa.
Menurut beliau, PICKids telah bermula sejak sebulan lalu namun kadar peratusan masih rendah sekitar 30 peratus, setelah mengeluarkan temu janji sebanyak 1.6 juta, namun hanya sejuta yang hadir, sedangkan terdapat kira-kira empat juta kanak-kanak di negara ini.
Beberapa hari lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, Kelantan dan Terengganu mencatatkan vaksinasi PICKids paling rendah iaitu di bawah 15 peratus berbanding negeri-negeri lain dan akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bagi menangani isu tersebut.
Kementerian Kesihatan menyasarkan 70 peratus kadar PICKids bagi sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada bulan April.- UTUSAN











