Tidak siapa pernah halang tiga beradik jumpa ibu mereka - Mufti Perlis - Utusan Malaysia

Tidak siapa pernah halang tiga beradik jumpa ibu mereka – Mufti Perlis

MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Tidak pernah siapa menghalang tiga beradik yang di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumpa ibunya dan perkara itu tidak ada kaitan dengan pihak berkuasa agama Perlis.

Sambil sudah menjangkakan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memerintahkan tiga beradik yang kini di bawah jagaan persendirian JKM dikembalikan kepada ibu kandungnya, Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, pihak berkuasa Islam negeri ini telah pun menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada ibunya di Balai Polis Kangar pada 14 Januari lalu tanpa perlu arahan mahkamah.

Katanya, sebelum ini, wanita itu tidak jadi mengambil anak-anaknya kerana dua daripada mereka enggan mengikut pulang bersamanya sehingga menimbulkan ketegangan.

“Susulan itu, wanita tersebut sendiri membuat keputusan untuk menyerahkan anak-anak itu kepada JKM dan bukan pihak jabatan agama.

“JKM kemudiannya telah membawa kanak-kanak tersebut dan tinggal di asrama Kedah. Saya difahamkan dengan situasi sekarang dengan peningkatan kes Covid-19, prosedur serta undang-undang yang ketat menyukarkan dia (wanita itu) melawat anak-anaknya.

“Tiada sesiapa yang menghalang wanita itu berjumpa anaknya dan perkara itu tidak ada kaitan dengan pihak berkuasa agama Perlis kerana anak-anak itu di bawah jagaan JKM,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi memerintahkan tiga beradik yang kini di bawah jagaan persendirian JKM, dikembalikan kepada ibu kandungnya serta-merta.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan habeas corpus yang dikemukakan oleh ibu tunggal, Loh Siew Hong,34,.

Wanita tersebut serta ketiga-tiga anaknya iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun hadir di mahkamah semalam bagi mendengar permohonan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Asri turut mempersoalkan tindakan ibu kepada anak-anak tersebut yang tidak menuntut hak penjagaan mereka selama tiga tahun.

Katanya, penjaga kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai ustazah Nazirah sendiri menghubungi Siew Hong untuk memaklumkan di mana lokasi mereka berada agar ibu kandung itu boleh bertemu anak-anaknya.

“Tiba-tiba ada pihak yang membuat cerita seolah-olah ustazah itu menculik dan merampas anak-anak Siew Hong. Sepatutnya mereka perlu berterima kasih kepada ustazah tersebut kerana menyara kebajikan termasuk makan minum serta pendidikan sepanjang suaminya di dalam penjara sejak September 2020,” katanya.

Jelas Mohd. Asri lagi, ustazah tersebut melakukan semua perkara tersebut tanpa mengetahui kewujudan Siew Hong.

Menurut beliau, ini adalah satu manipulasi yang dimainkan pihak-pihak politik tertentu yang bertujuan untuk mencetuskan ketegangan agama dan kaum yang akhirnya membangkitkan kemarahan masyarakat.

“Pihak kita tiada masalah sekiranya anak-anak tersebut memilih untuk menganut agama Hindu namun jika mereka memilih agama Islam, mereka akan memperjuangkan haknya untuk beragama Islam,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN