JASIN: Polis Melaka akan memperkenalkan penguatkuasaan menggunakan teknologi tinggi termasuk perisian mengimbas muka individu yang mampu mengesan rekod jenayah lampau melalui Projek Smart City, Mac ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, objektif utama projek itu adalah bagi membangunkan sebuah bandar selamat dengan berkonsepkan pelancongan yang pertama dalam negara.
Katanya, projek dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu akan dilaksanakan di kawasan tumpuan pelancong di Jonker Walk, yang mempunyai jumlah pengunjung kira-kira 15 juta setiap tahun.
“Kita akan perkenalkan Balai Smart City di Jonker Walk, untuk projek ini Polis Melaka akan bekerjasama dengan UTeM yang mempunyai perisian mengimbas rekod jenayah lampau menerusi gambar individu yang dirakamkan di kamera.
“Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga telah membantu kita dengan memberikan kamera litar tertutup (CCTV) dan kita jangka smart policing ini akan diperkenalkan Mac ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perasmian Balai Polis Bemban di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga telah memaklumkan secara lisan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengenai transisi penguatkuasaan yang menuju ke arah smart policing.
“Melaka adalah negeri pelancongan, kita tidak boleh lagi bergantung pada pandangan conventional policing termasuklah saranan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengikut nisbah satu polis mengawal 250 masyarakat, namun di negeri ini satu polis bersamaan 1,273 penduduk.
“Pengalaman serta kepakaran menguruskan jenayah kita ada, sekarang kita perlu beranjak melihat pada revolusi industri dan melihat hasilnya, adakah kadar jenayah berjaya diturunkan? Kita mahu dunia tahu tempat kita ini adalah bandar selamat ,” katanya. –UTUSAN ONLINE