'Saksama Bersama' tema Hari Wanita 2022 - Utusan Malaysia

‘Saksama Bersama’ tema Hari Wanita 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Saksama Bersama’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022 yang akan disambut pada 8 Mac ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan, tema itu dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita.

Malah sejajar bagi dioptimumkan peranan wanita demi menyediakan masa depan negara yang mampan.

“Ia juga selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu ‘Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow’.

“Tema ini juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif,” kata kementerian dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, negara mengiktiraf peranan signifikan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan negara.

Jelas kenyataan itu, hal ini kerana sumbangan besar wanita yang mewakili 48.62 peratus atau 15.9 juta wanita yang berdasarkan Data pada Suku Keempat Tahun 2021 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Perkara itu sekaligus memperlihatkan wanita populasi Malaysia tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi kaum itu merupakan tulang belakang keluarga yang menjadi asas negara,” kata kenyataan itu lagi.

Jelas kenyataan sama lagi, Sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 hingga 8 Mac ini dan bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sambutan pada kali ini akan melibatkan aktiviti-aktiviti pameran kerjaya dan peluang perniagaan yang memberi akses kepada wanita menjana pendapatan.

“Ia juga menjadi pusat setempat yang menggabungkan agensi kerajaan, sektor korporat dan NGO menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat.

“Kementerian menyeru agar orang ramai dapat berkunjung ke KLCC bagi menyertai dan memeriahkan sambutan pada kali ini dengan mematuhi SOP yang berkuatkuasa,” jelas kenyataan berkenaan.

Kementerian turut menggesa agar semua pihak melaksanakan program-program yang bersesuaian untuk pembangunan wanita sempena Sambutan Hari Wanita 2022 di peringkat masing-masing selari dengan tema ‘Saksama Bersama’. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN