PADANG TERAP: Penduduk di Kampung Barokas, Kuala Nerang di sini merayu kepada pihak berkuasa membaiki titi konkrit di Lorong Bukit Pinang yang semakin mendap akibat hakisan sejak dua bulan lalu.
Penduduk mendakwa titi tersebut sepanjang enam meter yang dibina sejak tahun 2000 menjadi laluan utama mereka untuk ke jalan utama di kampung berkenaan.
Menurut Jariah Mahmud, 65, berkata, titi konkrit itu merupakan nadi kepada penduduk yang digunakan untuk aktiviti menoreh dan menanam padi di kawasan berdekatan.
Katanya, laluan titi tersebut juga merupakan jalan pintas penduduk ke jalan utama kerana jaraknya lebih dekat kira-kira satu kilometer berbanding laluan lain sejauh lebih tiga kilometer.
“Kebanyakan penduduk menggunakan titi tersebut untuk mengeluarkan hasil tanaman mereka ke jalan utama dan pernah sebuah lori membawa getah sekerap hampir terjunam ke dalam anak sungai kerana keadaan titi tersebut yang semakin mendap.
“Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan motosikal untuk mengeluarkan hasil,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Penduduk, Mohd. Adha Abu Bakar, 35, berkata, ketika hujan, penduduk bimbang menggunakan titi tersebut kerana keadaan licin dan membahayakan penunggang motosikal.
“Malah, penduduk terpaksa menolak motosikal untuk mengelakkan terjatuh ke dalam anak sungai ketika melalui titi itu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Barokas, Ibrahim Ismail berkata, pihaknya telah menghantar laporan mengenai titi konkrit di laluan tersebut yang mendap kepada Pejabat Daerah Padang Terap, penghulu dan wakil rakyat untuk tindakan lanjut.
“Pihak terlibat telah meninjau titi tersebut dan menunggu kelulusan untuk memperbaiki atau membina baharu titi berkenaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE