MELAKA: Golongan nelayan dari Tanjung Kling melahirkan rasa kecewa apabila Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. (Tanjung Bruas Port) didakwa masih berdegil menjelaskan bayaran pampasan yang dijanjikan berhubung penyambungan jeti pelabuhan sepanjang 50 meter.
Jelas mereka, arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada Mac tahun lalu, langsung tidak diendahkan pihak pengurusan walaupun penyambungan sudah siap dibina.
Pada Taklimat dan Dialog Pembangunan Pelabuhan Tanjong Bruas bersama 23 wakil nelayan dan 10 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Kundor baru-baru ini, mereka meminta diadakan perbincangan semula berhubung bayaran pampasan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, dia sendiri tidak faham mengapa Tanjung Bruas Port masih bermain tarik tali berhubung pampasan dijanjikan.
“Saya sendiri tidak faham arahan daripada Ketua Menteri langsung tidak dipedulikan oleh Tanjung Bruas Port. Sambungan jeti sudah siap tetapi bayaran pampasan kepada 300 nelayan tidak dijelaskan seperti yang dijanjikan.
“Taklimat semalam pula, pihak pengurusan memaklumkan akan menyambung tambahan jeti sepanjang 750 meter pula. Sambungan 50 meter tak dibayar, ini pula penyambungan baru,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu Pengerusi JPKK Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, setiap kali pertemuan diadakan, apabila diajukan soalan berhubung bayaran pampasan, pihak bertanggungjawab mengelak daripada menjawab soalan tersebut.
“Pada dialog itu, saya bangkitkan hal bayaran pampasan, namun jawapan daripada Tanjung Bruas Port untuk mengadakan rundingan lagi sangat mengecewakan wakil nelayan yang hadir,” katanya. –UTUSAN ONLINE