Korban Kasih Nurani jaga empat adik agar tidak tercicir - Utusan Malaysia

Korban Kasih Nurani jaga empat adik agar tidak tercicir

RUTIN Kasih Nurani Zulkepeli (kanan) bersama-sama membantu adik-adiknya menyiapkan kerja sekolah di Kampung Durian Burung di Kuala Terengganu, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terpaksa melupakan seketika impian untuk bekerja antara pengorbanan Kasih Nurani Zulkepeli, 18, demi menjaga empat adiknya selepas pemergian bapa mereka akibat Covid-19 pada September, tahun lalu manakala ibu lima tahun lalu.

Kasih Nurani berkata, keputusan itu dalam masa sama bagi mengawasi pergerakan adik-adiknya yang berusia sembilan hingga 16 tahun agar tidak tercicir dalam pelajaran.

Katanya, walaupun bergelar anak yatim piatu dan serba kekurangan tetapi itu bukan alasan untuk tidak meneruskan persekolahan, sekali gus enggan nasib sama menimpanya berulang.

“Saya berhenti sekolah ketika di tingkatan dua dan tidak mahu adik-adik mengikut jejak langkah saya. Kalau bekerja, mungkin terbatas untuk mengawal pergerakan mereka.

“Kakak sulung sudah berkahwin dan tinggal berasingan, jadi tanggungjawab sebagai ‘ibu bapa’ kepada adik-adik kini digalas saya sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Durian Burung di sini hari ini.

Enam beradik itu kehilangan bapa mereka, Zulkepeli Ramli, 62, pada 27 September 2021, manakala ibu pula meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.

Kasih Nurani berharap dua adik lelakinya, Waiz Al-Syahid, 9, dan Wali Al-Hadad, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Durian Burung dapat menyambung pengajian ke sekolah tahfiz berdekatan hingga bergelar ustaz.

Katanya, dua yang lain iaitu Suci Sufiah, 14, dan Sayang Murni, 16, pula menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad.

“Selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira RM700 sebulan, kami lima beradik meneruskan kehidupan dengan duit sewaan bulanan kedai datuk bernilai RM700.

“Setakat ini, kewangan mencukupi dan saya cuba berjimat-cermat untuk simpanan, tetapi ada ketikanya saya sedih sebab gagal memenuhi permintaan adik-adik untuk membeli perkakas sekolah di samping alat permainan yang bukan keperluan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN