'Buang' barang kemas dengan lampin anak ketika kemas rumah  - Utusan Malaysia

‘Buang’ barang kemas dengan lampin anak ketika kemas rumah 

SEORANG wanita di Butterworth, Pulau Pinang bernasib baik apabila barang kemas yang dibuang secara tidak sengaja bersama lampin anaknya berjaya ditemukan semula dengan bantuan kakitangan MBSP semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang wanita yang tular dalam media sosial semalam mengakui secara tidak sengaja membuang barangan kemas miliknya kerana sibuk mengemas rumah dan dalam pada masa sama menguruskan anak tunggal lelakinya yang berusia empat bulan. 

Rohaya Ismail, 31, berkata, kejadian awal pagi semalam di kediamannya di Kuarters Balai Polis Telok Ayer Tawar, di sini berlaku secara serentak dan di luar jangkaannya. 

“Ketika saya sedang mengemas rumah, saya sudah pegang beg kecil yang berisi empat bentuk cincin dan seutas gelang tangan, namun, anak saya, Muhammad Wafi Aidin Muhammad Rafiuddin, tiba-tiba menangis, lalu menukar lampin sebelum meletakkan beg tersebut di sebelah lampin terpakai. 

“Kemudian, tanpa fikir panjang, saya terus kumpul lampin dan sampah-sampah lain termasuk beg yang berisi barang kemas itu dan membuangnya ke dalam tong sampah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Dia yang juga isteri kepada pemain bola sepak Penang FC, Muhammad Rafiuddin Roddin berkata, selepas menyedari beg tersebut dibuang terus meminta abangnya, Mohd. Yusuf Ismail, 30-an untuk mencari lori sampah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan segera. 

“Ketika itu, abang saya kejar lori sampah yang kebetulan masih mengutip sampah di sekitar Telok Ayer Tawar, lalu, meminta pertolongan pekerja MBSP untuk mencari barangan kemas yang saya anggap ada nilai sentimental yang tinggi kerana membelinya semasa zaman anak dara lagi. 

“Meskipun saya beranggapan peluang untuk menjumpai barangan kemas itu tipis , namun, saya reda dan pasrah jika barangan itu tidak dijumpai,” katanya yang merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Balai Polis Telok Ayer Tawar, di sini. 

Anak bongsu dari empat beradik itu berkata, setelah mengadakan perbincangan dan melalui beberapa prosedur yang ditetapkan oleh pihak MBSP, akhirnya, mereka bersetuju mencari barangan kemas tersebut yang bermula kira-kira jam 9 pagi di Depo Operasi Pembersihan Tasek Gelugor. 

“Operasi tersebut berakhir dan barangan kemas berjaya ditemukan kira-kira pukul 1 petang. Syukur sangat sebab ada insan yang begitu amanah dan bertanggungjawab dalam pekerjaan. 

“Semoga sikap amanah dan jujur mereka menjadi contoh buat semua dan saya harap MBSP dapat memberi anugerah kepada 10 pekerja yang bertungkus-lumus mencari barang kemas tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan,” katanya sambil menambah, tetap memberi saguhati berbentuk wang kepada kesemua pekerja terlibat meskipun ditolak. 

Terdahulu, terdapat portal berita melaporkan seorang wanita di Tasek Gelugor di sini yang terbuang barang kemas miliknya ke dalam tong sampah sebelum diangkut lori sampah menarik nafas lega apabila ditemui semula, semalam.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya