BAGAN DATUK: Didorong semangat perjuangan UMNO membela agama, bangsa dan negara sejak penubuhannya, seorang warga emas berusia 72 tahun, Saad Nordin, tekad mengadakan misi jelajah Semenanjung dengan berbasikal dengan matlamat untuk memperjelaskan makna di sebalik bendera parti itu.
Saad atau lebih dikenali Pak Ad, dari Baling, Kedah, memulakan misi kayuhan sejauh kira-kira 2,500 kilometer bermula di Dataran Bagan Datuk di sini semalam yang dilepaskan oleh Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ditemani seorang rakannya dari Sik, Kedah sebagai pengayuh tetap di sepanjang perjalanan, mereka dijangka menamatkan kayuhan pada 16 Mac depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, iaitu semasa Perhimpunan Agung UMNO.
Menurut Saad, kayuhan yang dilakukannya itu dinamakan ‘misi kayuhan cintailah tanah air kita dulu, kini dan selamanya bersama UMNO’.
Katanya, sepanjang kayuhan, dia akan mengibarkan bendera UMNO dan akan memberi penjelasan mengenai makna di sebalik bendera UMNO kepada masyarakat di setiap tempat yang akan mereka singgah nanti.
“Dalam kayuhan ini, saya dapat jumpa dengan anak-anak muda untuk perjelaskan makna bendera UMNO yang berkeris.
“Saya berharap usaha ini dapat menyemarakkan semangat perjuangan orang Melayu dan UMNO untuk mempertahankan maruah tanah air dan bangsa serta agama.
“Kita tidak rasis, tapi, kita perlu melakukan sesuatu demi untuk generasi masa depan. Kalau ada pihak setuju dengan cara ini, setujulah, tapi yang tak setuju, terpulanglah.
“Ini merupakan kayuhan pertama mengibarkan bendera UMNO di seluruh Semenanjung menggunakan basikal sejak UMNO ditubuhkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Saad berharap misi kayuhannya itu mendapat sokongan daripada UMNO bahagian di seluruh negara.
“Saya harap UMNO bahagian tunggu kami sebagai tanda sokongan. Kami tak minta apa-apa, dapat segelas air sejuk pun sudah okey, yang penting perjuangan diteruskan,” katanya.
Menurutnya, ketika kayuhan, dia dan rakannya dijadual melalui Kelantan, akan diiringi seorang individu berpengalaman dalam jelajah berbasikal iaitu Wan Hashim Wan Mahmud berusia 76 tahun.
“Dia mencatat lapan rekod dalam Buku Rekod Malaysia dalam melakukan jelajah atau ‘touring’. Dia dijangka akan sama-sama memberi sokongan kepada kami semasa di Kelantan nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE