BALING: Hampir 1,000 penduduk di empat buah kampung di sini terpaksa mempertaruhkan nyawa setiap kali menggunakan jambatan yang rosak sejak tahun lalu.
Jambatan konkrit sepanjang 50 meter yang terletak antara Kampung Padang Cina dan Kampung Landak di sini adalah satu-satunya jalan pintas penduduk di Kampung Lela dan Kampung Landak Hilir untuk ke pekan Baling dan Kupang.
Malah, jambatan berusia 37 tahun itu menjadi laluan penduduk berdekatan di Kampung Lela dan Kampung Landak Hilir.
Penduduk Kampung Padang Cina, Mohd. Shukri Yaakob, 52, berkata, penduduk tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menggunakan jambatan itu walaupun semakin retak dan tidak kukuh selepas banjir pada November tahun lalu.
Menurut beliau, penduduk masih menggunakan jambatan itu untuk pergi ke klinik, masjid, dan mengambil anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar.
“Kami menggunakan jambatan itu sebagai jalan pintas kerana jaraknya lebih kurang ke satu kilometer berbanding jalan utama sejauh lapan kilometer bagi perjalanan ke pekan Baling dan Kupang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi penduduk, Amymelia Adnan, 34, berkata, jambatan itu didapati bahaya kerana tiang-tiangnya telah senget dan lantainya bengkok serta hampir runtuh.
“Sebelum ini, kereta dan lori kecil tanpa muatan boleh melaluinya, tetapi sekarang tidak boleh kerana lantai jambatan ini berisiko runtuh pada bila-bila masa.
“Tambahan pula, keadaan cuaca masih tidak menentu dan jambatan itu boleh runtuh jika hujan lebat dan peras air sungai naik serta deras.
“Di sekitar tebing sungai juga mengalami hakisan teruk dan hampir meruntuhkan struktur tanah berdekatan,” katanya.
Penduduk Kampung Landak Paya, Siti Salmah Abdullah, 72, berkata, dia juga melalui jambatan ini setiap hari kerana kebun getahnya berada di seberang sungai itu.
“Saya perlu tunggu tiada motosikal yang melaluinya, baru saya berani menyeberangi sungai ini, kerana jika berselisih dengan motosikal terasa seperti jambatan ini bergoyang,” ujarnya.
Tambahnya, dia berharap pihak berkuasa dapat membaiki atau membina semula jambatan tersebut untuk mengelakkan berlaku kemalangan buruk yang mungkin melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa. –UTUSAN ONLINE