Tiada hala tuju jelas tangguh perjalanan umrah - Utusan Malaysia

Tiada hala tuju jelas tangguh perjalanan umrah

PESERTA jemaah umrah mendaftar masuk sebelum berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 November lalu.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan didakwa tiada hala tuju jelas dalam memastikan jemaah umrah dapat menunaikan ibadah setelah menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bermula Sabtu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah syarikat pelancongan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, keputusan secara terburu-buru itu menimbulkan banyak persoalan walaupun atas tujuan menyelamatkan nyawa akibat penularan varian Omicron.

“Kami tidak tahu berapa lama kerajaan akan menangguhkan perjalanan ketika ramai yang terjejas. Ramai yang terseksa daripada menerima manfaatnya.

“Kerajaan mesti mengkaji semula keputusan ini dan berbincang dengan agensi-agensi umrah sebab menteri kesihatan pada awlanya cakap mengenai dos penggalak, tangguh atau tutup umrah adalah langkah terakhir dan tiba-tiba sahaja terus tangguh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Ida Riswana, syarikatnya sudah kerugian lebih RM6 juta untuk 8,000 jemaah umrah yang sudah mendaftar dan sepatutnya bertolak sekarang sehingga bulan Syawal ini.

Bayaran tersebut sudah diselesaikan kepada pihak di negara itu, namun, wang tersebut tidak dapat dikembalikan kerana Arab Saudi tidak pernah menguatkuasakan polisi menyekat kemasukan jemaah daripada Malaysia khususnya mengenai visa dan penginapan.

“Apa yang kami sudah bayar kepada pihak terlibat di sana akan hilang dan luput, jika mahu pergi ke sana semula sudah pasti akan ada bayaran tambahan dikenakan kerana tiada kewajaran memulangkan bayaran tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Ida Riswana berkata, Andalusia akan berusaha mengimbangkan kerugian tersebut untuk para jemaah walaupun banyak wang telah ‘hangus’ akibat penangguhan perjalanan tersebut. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×