JERANTUT: Seorang isteri di Kampung Batu Balai, di sini, tidak dapat tidur lena mengenangkan nasib suaminya yang kini tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di sebuah hospital di Korea Selatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, isteri terbabit, Wan Hayati Wan Yaakub, 53, berkata, dia mengetahui nasib yang menimpa suaminya, Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50, daripada sepupu suaminya, Saloha Adlan, 27, yang turut berada di sana menerusi kiriman Whatsapp, pada Ahad lalu.
Katanya, suaminya dikatakan separuh koma kerana pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala.
“Suami ada memberitahu yang dia tidak sihat kerana masalah sakit urat dan dia sudah tidak bekerja sejak sekitar tiga atau empat hari sebelum kejadian. Ahad lalu, Soleha beritahu suami tidak sedarkan diri dan dirawat di hospital selepas muntah dan pengsan di rumah sewanya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bercerita perkembangan terkini suaminya, Wan Hayati berkata, setakat ini dia dimaklumkan hanya kaki kiri dan mata kanan yang memberi tindak balas.
Sementara itu, anak sulungnya, Muhamad Zafifi, 28, berkata, kira-kira RM11,000 diperlukan bagi menampung kos perubatan satu hari ketika bapanya dirawat di Hospital Hyosung, Cheongju, Korea Selatan dan telah dilangsaikan hasil kutipan dana daripada rakan-rakan senegara yang turut bekerja di sana.
“Namun, selepas ayah dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan Covid-19 selama 20 hari, saya tidak dimaklumkan lagi jumlah kos rawatan yang perlu kami bayar,” katanya yang memaklumkan ayahnya dipindahkan ke hospital lain di Cheongju, Korea Selatan, semalam.
Sejak kisah bapanya tular semalam, Muhamad Zafifi dikatakan telah menerima sumbangan orang ramai dan jumlah terkumpul setakat ini RM6,400.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah turut menyumbang RM3,000.
Menurut Muhamad Zafifi, bapanya bekerja di Korea Selatan sejak Oktober 2019 dan berhasrat pulang dan kembali menetap di Malaysia sekitar Julai nanti.
“Di sana, ayah kerja tidak menentu. Mula-mula ayah kerja kutip buah, kemudian terbaharu, ayah memberitahu dia kerja di kilang tisu. Ayah beritahu hendak kumpul duit lebih banyak lagi sebelum pulang ke Malaysia,” katanya.
Difahamkan, Kamarulzaman sering mengirim wang gaji diterimanya untuk menampung kos membuat rumah yang terbengkalai sejak 2015.
Selain itu, Kamarulzaman yang sebelum ini bekerja sebagai peniaga air dan buah jambu di Bandar Tun Razak Jengka, perlu menampung perbelanjaan tiga dari enam anaknya yang masih bersekolah.
Muhamad Zafifi yang merupakan anak sulung hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala anak kedua, Mohamed Hakimin, 25, sudah berumah tangga dan bekerja di kilang sawit.
Anak ketiga Kamarulzaman, Nur Hidayah, 22, baharu sahaja menamatkan pengajian, manakala tiga lagi anaknya, Mohd. Firdaus, 20, Fatin Bashirah, 17, dan Anis Umairah, 15, masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan penting tahun ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Muhamad Zafifi bernombor 156208313826 atau menghubunginya di talian 0148101377. -UTUSAN ONLINE