Menara telekomunikasi dibina atasi masalah internet lemah  - Utusan Malaysia

Menara telekomunikasi dibina atasi masalah internet lemah 

WAN ROMANI WAN SALIM 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merancang membina sebuah menara telekomunikasi baharu berdekatan Kampung Permatang Kerat Telunjuk di sini bagi menyelesaikan masalah capaian internet dan talian komunikasi yang lemah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Romani Wan Salin berkata, masalah tersebut yang menimbulkan pelbagai kesulitan kepada lebih 2,000 penduduk di kampung berkenaan dijangka selesai pada akhir tahun ini.

Menurutnya, pembinaan menara telekomunikasi itu dibina menerusi pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dirancang dibangunkan di Kampung Tebuk Bugis terletak lebih kurang satu satu kilometer dari Kampung Permatang Kerat Telunjuk itu.

“Kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi itu dijangka bermula pada Mac nanti dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 13 Januari lalu melaporkan lebih 2,000 penduduk terutamanya pelajar sekolah di Kampung Permatang Kerat Telunjuk di sini menghadapi masalah melakukan rujukan untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah berikutan capaian internet lemah.

Sebelum ini, anak-anak mereka juga kecewa apabila sering ketinggalan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana kesukaran mendapatkan talian internet yang lancar.

Selain itu, penduduk yang menggunakan intenet untuk melakukan aktiviti dan tugasan secara dalam talian juga terkesan dengan masalah internet yang lemah itu.

Romani menambah, pihak SKMM akan meantau pelaksanaan projek pembinaan menara telekomunikasi itu supaya dapat disiapkan mengikut perancangan yang ditetapkan.

Romani berkata, menara telekomunikasi yang baharu itu akan memberi liputan jalur lebar mudah alih dan capaian internet di kawasan terbabit dengan lebih baik.

“Penduduk setempat di Kampung Permatang Kerat Telunjuk dan kawasan sekitar bukan sahaja dapat menikmati kualiti capaian Internet yang lebih baik malahan juga boleh memanfaatkannya untuk memperbaiki taraf hidup mereka,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN