fbpx

‘Dulu pegang mikrofon, sekarang pegang sepana’

AIDA Hajat di hadapan bengkel membaiki kereta dan motosikal miliknya di Taman Kota Laksamana, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP

MELAKA: Berbekalkan prinsip di ‘mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Kata-kata itu menjadi pegangan bekas finalis Anugerah Juara Lagu ke-10 kategori Irama Malaysia, Aida Hajat atau nama sebenarnya Siti Haida Hasnan yang kini membuka bengkel kereta dan motosikal.

Aida yang berjaya menghasilkan dua album di bawah BMG Music berkata, beliau tekad membuka bengkel selepas kerjaya sebagai penyanyi di kelab malam, majlis rasmi dan sebagainya ‘malap’ sejak penularan wabak Covid-19.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Hajat dan Manis Masa Bercinta hasil nukilan komposer Saari Amri itu, walaupun tidak begitu arif dalam bidang automotif, namun, beliau tetap memberanikan diri membukanya sejak lebih setahun lalu.

“Sejak tidak lagi bergelar artis, saya banyak menerima tawaran menyanyi di tempat-tempat lain, tetapi, disebabkan pandemik Covid-19, saya hilang punca pendapatan kerana tidak dapat membuat persembahan.

“Akhirnya, saya mendapat idea untuk membuka bengkel kereta hasil tunjuk ajar seorang mekanik. Saya memberanikan diri buka bengkel kereta dan motosikal menggunakan duit simpanan.

“Alhamdulillah, sejak menceburi bidang perniagaan lain daripada yang lain dan bukan kosmetik seperti artis-artis yang lain, ia cukup mengujakan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.

Bengkel milik Aida dinamakan Pak Tam Auto Servis Kereta dan Motosikal terletak di Taman Kota Laksamana dan dibuka setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 7.00 petang.

Menurutnya yang juga seorang ibu tunggal, sejak membuka bengkel tersebut, ia menjadi sumber pendapatan utamanya untuk menyara tiga orang anak berusia antara sembilan hingga 19 tahun.

Katanya, sebelum membuka bengkel kereta, dirinya pernah membuka kedai makan di Lorong Pandan tetapi tidak mampu bertahan.

“Sejak tidak ada undangan menyanyi, banyak kerja yang saya usahakan demi kelangsungan hidup, apa lagi menyara tiga anak yang semakin membesar. Saya tidak pernah patah semangat walau berdepan pelbagai rintangan

“Saya akan kembali menyanyi selepas kerajaan membenarkan pelbagai sektor ekonomi termasuk hiburan dibenarkan beroperasi semula,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN