Sistem MyBayar tidak mampu tampung kapasiti - Utusan Malaysia

Sistem MyBayar tidak mampu tampung kapasiti

Mat Kasim Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Jumlah trafik yang naik secara mendadak pada satu masa berikutan orang ramai mahu mendapatkan diskaun saman 80 peratus sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula Jumaat lalu menjadi punca aplikasi MyBayar gagal ditembusi pengguna.

Mengakui perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kasim Karim berkata, kebanyakan mereka yang gagal melayari aplikasi MyBayar adalah pengguna baharu yang membuat pendaftaran dalam aplikasi berkenaan.

Jelasnya, ini kerana mereka perlu memasukkan nombor pengesahan transaksi (OTP) dan menyebabkan sistem mengambil sedikit masa untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Bagi mereka yang sudah mempunyai pendaftaran akan lebih mudah kerana mereka hanya perlu daftar masuk ke dalam aplikasi berkenaan dan seterusnya membuat pembayaran,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mat Kassim menyarankan orang ramai yang gagal mengaksesnya supaya berbuat demikian di luar waktu puncak.

“Kita akan menambah bilangan kapasiti pelayan (server) sedia ada selain menaik taraf aplikasi berkenaan,” jelasnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada tempoh pelaksanaan diskaun saman berkenaan akan dilanjutkan, beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, saman bernilai RM17.5 juta dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari pertama tawaran diskaun hingga 80 peratus sempena program 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Kutipan itu diperoleh selepas sebanyak 372,636 saman trafik dijelaskan di seluruh negara sehingga lewat malam semalam.

Malah, kaunter bayaran saman di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dibuka sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia turut mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila merekodkan sebanyak 8,943 saman dijelaskan dengan kutipan berjumlah RM431,330.

Bagaimanapun, kaunter bayaran saman di di KLCC ditutup serta merta petang semalam bagi mengelakkan berlaku kesesakan dan boleh memberikan risiko kepada berlaku penularan jangkitan Covid-19. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN