KEMAMAN: Peniaga yang memiliki ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus di Kemasik di sini tidak berangan-angan mahu menjadi jutawan, sebaliknya hanya mendedahkan penemuan itu untuk mengesahkan ketulenan objek berkenaan.
Aida Zurina Long, 41, berkata, sekiranya tuah berpihak kepadanya, dia bersyukur dan menganggap perkara itu sebagai rezeki terpijak.
“Tujuan saya mendedahkan penemuan itu adalah untuk mengetahui tentang objek tersebut, sama ada benar merupakan muntah ikan paus atau sebaliknya.
“Saya tidak berangan-angan mahu menjadi kaya atau jutawan seperti dikatakan netizen di media sosial,” katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.
Aida Zurina berkata, sejak semalam, beberapa individu menghubunginya dan menyatakan minat untuk membeli objek itu, namun, setakat petang ini ketulan lilin tersebut masih belum dijual.
Bagaimanapun, katanya, dia bersedia menjual ketulan lilin itu jika disahkan muntah ikan paus.
Dalam pada itu, Aida Zurina menjelaskan yang objek tersebut tidak pernah diuji Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kini hanya menunggu keputusan ujian daripada Jabatan Perikanan selepas sampel diambil hari ini. -UTUSAN ONLINE