SEREMBAN: Walaupun sektor ekonomi negara kembali rancak selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan dua bulan yang lalu, industri hotel masih lagi berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, situasi itu turut dihadapi oleh pengusaha-pengusaha hotel di negeri itu khususnya di Port Dickson.
Jelas beliau, pihaknya sering menerima keluhan dan rungutan daripada ahli yang menyatakan kesukaran untuk mendapatkan pekerja walaupun iklan tawaran kerja kosong serta temuduga terbuka telah dilakukan dan ia tidak mendapat sambutan.
“Disebabkan kekurangan pekerja hotel, kami terpaksa guna pekerja sedia ada termasuk pekerja bahagian yang lain. Ketika ini mereka semua perlu mempunyai kebolehan berbilang tugas (multitasking) terutama pada hujung minggu.
“Jika dahulu pihak hotel mempunyai pekerja asing di bahagian pembersihan bilik namun kini tidak lagi. Kebanyakan pekerja sebelum ini yang tidak dapat bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula tidak lagi kembali bekerja dengan hotel kerana lebih berminat memulakan perniagaan dan menjadi penghantar makanan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Haziz lagi, pihaknya juga berharap menerusi pembukaan pintu sempadan antarabangsa dapat membolehkan sektor perhotelan dapat mengambil pekerja-pekerja asing bagi menampung kekosongan pekerja dalam industri tersebut.
“Dahulu pun, kebanyakan hotel mempunyai ramai pekerja asing namun kini hendak mencari pekerja sambilan juga susah.
“Kami juga melihat pembukaan semula kolej-kolej dan terdapatnya pelajar yang menjalankan latihan praktikal dapat menampung kekosongan itu ketika ini sehingga keadaan kembali pulih,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menurutnya, semua hotel di negeri ini menerima tetamu yang sangat menggalakkan dan jumlah akan bertambang ketika cuti persekolahan akan datang. -UTUSAN ONLINE