VTL: Peniaga Larkin Sentral kembali bernafas - Utusan Malaysia

VTL: Peniaga Larkin Sentral kembali bernafas

BEBERAPA petugas mencuci dan membersihkan tempat duduk penumpang yang tiba dari Singapura sebagai persediaan pelaksanaan VTL darat di Larkin Sentral, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peniaga di Larkin Sentral, di sini dapat menarik nafas lega ekoran pelaksanaan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat bermula esok yang akan membenarkan sehingga 1,440 pengembara dari Singapura pulang ke negara ini.

Peniaga bahulu, Shahrilnizam Mohamed, 50, memberitahu, mereka bersyukur dan teruja dengan pelaksanaan inisiatif berkenaan yang dijangka akan memberi kesan positif kepada perniagaannya.

Menurutnya, hal itu kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, perniagaannya dan rakan-rakan lain di terminal tersebut merosot sehingga 90 peratus.

“Selain orang tempatan, sekitar 90 peratus pelanggan saya adalah rakyat Singapura yang selalu berkunjung ke sini. Sebagai persediaan, saya akan tingkatkan jumlah adunan untuk membuat bahulu berbanding hanya satu adunan sehari sepanjang tempoh PKP lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, penyelia kedai jus buah-buahan, Syazryan Zainal, 18, pula memberitahu, jenama kedai minumannya itu baharu berpindah operasi ke Larkin Sentral dari pusat beli belah Toppen, Jumaat lalu.

“Keputusan untuk berpindah ke sini adalah kerana kami menjangkakan lokasi ini mempunyai potensi besar dengan mengambil kira pengunjung dari Singapura,” ujarnya.

Bagi Setiausaha Persatuan Keusahawanan India Muslim Johor, Hussein Ibrahim, semasa PKP lalu, lebih 10 pengurup wang di Larkin Sentral terpaksa ditutup kerana ketiadaan pelanggan.

“Walaupun kedai ditutup, peniaga terpaksa membayar sewa bulanan dan pelaksanaan VTL darat itu akan menghidupkan semula lebih 100 kedai pengurup wang di daerah ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengurusan Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral telah bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan VTL darat yang melibatkan perjalanan bas pertama dari Malaysia ke Singapura seawal pukul 7.30 pagi.

Pengurus Bangunan, Mohd. Helmi Mohd. Affendi berkata, persiapan bagi VTL darat telah siap 100 peratus termasuk persediaan dan ruangan untuk pelaksanaan Ujian Saringan Covid-19 Atas Ketibaan (OAT).

“Untuk pelaksanaan hari pertama esok, sejumlah 32 perjalanan bas akan disediakan dengan selang masa antara 15 hingga 30 minit setiap satu di mana bas terawal adalah pada pukul 7.30 pagi manakala bas terakhir adalah pada pukul 8.30 malam.

“Ketibaan bas dari Singapura pula bermula seawal pukul 9.20 pagi sehingga 9.30 malam. Kami dimaklumkan jualan tiket untuk perjalanan dari Malaysia ke Singapura masih belum habis terjual sebaliknya dari Singapura ke sini telah habis dijual untuk tempoh seminggu pertama.

“Ini mungkin kerana tidak ramai rakyat Singapura atau pemegang taraf pemastautin tetap negara itu yang berada di negara ini dan memohon untuk pulang, berbeza dengan jumlah rakyat Malaysia yang berada di sana,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengunjung untuk memastikan kesemua dokumen diperlukan lengkap dan tiba di Larkin Sentral satu jam lebih awal untuk memudahkan urusan mereka. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN