[SIDANG DUN KEDAH] Petani cenderung pilih varieti MR297 - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN KEDAH] Petani cenderung pilih varieti MR297

MUHHAMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kecendurungan pesawah di negeri ini memilih sesuatu varieti benih padi menyebabkan berlaku kekurangan benih padi sah di pasaran sehingga menyebabkan kelewatan aktiviti penanaman padi pada musim ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) didapati cendurung mendapatkan varieti MR297 kerana persepsi memberi pulangan hasil tinggi berbanding varieti lain.

Menurutnya, secara umumnya, benih padi di pasaran adalah mencukupi sekiranya tidak wujud kecenderungan monovarieti tersebut.

“Penanaman padi secara monovarieti adalah tidak digalakkan kerana akan mendedahkan kepada serangan perosak dan penyakit dalam skala yang besar.

“Keadaan ini dikuatiri akan menjejaskan hasil penanaman padi pesawah, justeru pesawah adalah dinasihatkan untuk memilih varieti selain daripada varieti MR297 yang terdapat di pasaran bagi mengelakkan kesan monovarieti selain kelewatan penanaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi isu berkaitan benih padi dengan penetapan dasar yang berkesan bagi mengurangkan implikasi pembekalan benih padi sah pada setiap musim.

Jelasnya, antara langkah tersebut, kerajaan melalui Kementerian  Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melantik 12 pengeluar benih dan 13 pemborong untuk menambah baik aspek pengeluaran, pengedaran, pengagihan dan pemasaran hasil benih padi sah bermula tahun ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga menetapkan harga siling benih padi sah kepada RM35 seguni (20 kilogram) di peringkat peruncitan bagi mengawal manipulasi harga benih padi di pasaran.

“Kerajaan melalui Bahagian Kawal Selia Padi Beras dan agensi MADA pula melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan sebagainya.

“Pemantauan secara berkala turut dilaksanakan di peringkat pengeluar dan .pemborong, makmal pemprosesan dan lokaliti atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) oleh pihak MADA,” ujarnya.

Pada 19 Oktober lalu, lebih 50,000 pesawah yang mengusahakan tanaman padi seluas 100,000 hektar di kawasan MADA di negeri ini mendakwa berlaku masalah kelewatan bekalan benih padi sah sejak tiga tahun lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain berkata, kelewatan bekalan benih padi tersebut menyebabkan pesawah tidak dapat mengikut jadual penanaman padi yang ditetapkan termasuk mengelakkan musim hujan dan kemarau.   -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN