GUA MUSANG: Hasil berbudi kepada tanah lapang di belakang rumahnya, seorang penduduk di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini kini mampu meraih pendapatan tambahan sehingga RM2,000 sebulan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nazri Ismail, 47, dia memilih menanam pelbagai jenis sayuran menggunakan teknik fertigasi atau pemberian baja secara pengairan titis sejak tiga tahun lalu.
Kata Nazri, dia gembira dan bersyukur apabila melihat sayur-sayuran seperti petola, timun dan peria tersebut hidup subur di tanah lapang belakang rumahnya yang seluas kira-kira setengah ekar atau 0.2 hektar.
“Saya terlibat dalam pertanian fertigasi secara serius sejak tiga tahun lalu kerana ia memberi pulangan lumayan secara bulanan. Sekarang terdapat 1,200 polibeg berisi pelbagai sayuran yang saya tanam menggunakan teknik ini.
“Saya bertuah kerana turut mendapat bantuan input pertanian serta khidmat nasihat pihak Jabatan Pertanian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Agropolitan Rantau Manis baru-baru ini.
Nazri dalam pada itu berkata, dia berhasrat untuk mengembangkan lagi kebun fertigasi tersebut dengan cara mempelbagaikan lagi jenis sayur-sayuran dan menanamnya dalam kuantiti lebih besar mulai tahun depan.
Katanya, ketika ini dia mampu menuai hasil sebanyak 1.5 tan dalam tempoh setiap dua bulan dan memasarkan sayur-sayuran tersebut di sekitar daerah ini.
“Saya menyeru golongan belia agar menceburi tanaman sayuran secara fertigasi ini kerana boleh menjana pendapatan terutamanya ketika pandemik Covid-19 ini yang menyaksikan kita sukar dapat kerja.
“Kaedah menanam dan menguruskan sayur-sayuran secara fertigasi ini juga mudah dan tidak memerlukan masa lama. Hasilnya juga banyak, bayangkan saya dapat menuai 30 hingga 40 kilogram sayur sehari,” katanya. -UTUSAN ONLINE