PETALING JAYA: Ramai pelajar memilih untuk ponteng selain ibu bapa tidak membenarkan mereka ke sekolah berikutan bimbang jangkitan Covid-19 walaupun sesi persekolahan bersemuka dibenarkan pada 1 November lalu di Lembah Klang.
Pelajar-pelajar yang terlibat hadir secara penggiliran ini terdiri daripada murid tahap satu sekolah rendah, tingkatan tiga dan empat sekolah menengah selain pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan utama iaitu Sijil Peperiksaan Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.
Naib Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), Datuk Mohd. Sabri Mohd. Arshad berkata, salah satu punca kedatangan pelajar tidak memberangsangkan ke sekolah adalah kerana ibu bapa sendiri memilih untuk tidak membenarkannya kerana bimbang mengenai wabak berkenaan.

Menurutnya yang bekas Presiden Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran, pihaknya mendengar khabar berita sedemikian baru-baru ini selain turut berasa bimbang berhubung pelan yang diatur Kementerian Pendidikan tidak akan selari dengan tindakan ibu bapa berkenaan.
“Isu ponteng sekolah ini, saya dimaklumkan bukan setakat pelajar sahaja yang tidak mahu ke sekolah, sebaliknya rata-rata pelajar lebih mahu datang ke sekolah berbanding duduk di rumah dan mempelajari melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Ada juga pelajar yang sukar bangun pagi untuk ke sekolah berikutan leka bermain game PUBG, Mobile Legends pada waktu malam sehingga ke awal pagi sepanjang tempoh lebih lima bulan belajar di rumah. Hal ini turut menimbulkan satu kejutan kepada mereka apabila tiba-tiba terpaksa kembali ke sekolah.
“Faktor ibu bapa juga, mereka ini bimbang jika anak mereka dijangkiti Covid-19, malah risau anak mereka bergaul bebas di sekolah lalu membawa wabak tu ke rumah,” katanya semasa dihubungi oleh Utusan Malaysia.
Pada 3 September lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin mengumumkan tarikh pembukaan sekolah secara bersemuka mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri masing-masing.
Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka yang memasuki fasa keempat PPN telah memulakan sesi persekolahan pada 1 November lalu.
Dalam pada itu, Sabri berkata, beliau percaya bahawa pihak kementerian mempunyai unit kaunseling yang perlu aktif dalam memberi informasi kepada ibu bapa yang masih paranoid terhadap jangkitan Covid-19.
“Kalau boleh, melawat ibu bapa ini dari rumah ke rumah atau buat satu sesi kaunseling untuk menerangkan tentang prosedur operasi standard (SOP) dan tanggungjawab yang bakal diambil oleh pihak sekolah dan kementerian jika anak mereka dijangkiti Covid-19,” katanya.
Tambahnya, terdapat golongan pedalaman yang tidak tahu perkembangan semasa mengenai pembukaan sekolah mengikut fasa PPN sehingga menjejaskan kehadiran ke sekolah.
“Golongan Orang Asli yang tinggal di pedalaman, mereka bukan tidak mahu ke sekolah, tetapi tidak boleh, jadi, saya berharap ada usaha oleh pihak atasan untuk menyediakan kenderaan dan asrama untuk mereka kembali ke sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, Kementerian Pendidikan perlu melakukan sesuatu bagi menarik kepercayaan ibu bapa berhubung sekolah bersemuka.
“Namun, saya tidak menolak kemungkinan ibu bapa bimbang menghantar anak ke sekolah disebabkan terdapat kumpulan guru-guru yang tidak mahu divaksin.
“Selain daripada sesi kaunseling, KPM turut boleh mengkaji semula SOP supaya ia boleh diperketatkan dan mampu menyekat penularan wabak Covid-19 di kalangan pelajar-pelajar di sekolah,” katanya. -UTUSAN ONLINE










