REMBAU: Seorang ibu sanggup melakukan pelbagai macam pekerjaan demi membesarkan 12 orang anak-anaknya termasuk dua anak istimewa sejak kematian suami 20 tahun lalu.
Maziya Abdul Magaid, 62, berkata, bagaimanapun, disebabkan kesukaran hidupnya pada masa dahulu, seorang daripada anaknya itu terpaksa diserahkan di bawah jagaan individu lain demi masa depan anaknya itu.
Namun, kini, menurutnya, dia sudah boleh menarik nafas lega apabila anak-anaknya kini sudah meningkat dewasa dan dia juga diminta oleh anak-anak untuk berhenti bekerja sejak dua tahun lalu.
“Macam-macam kerja saya buat dulu dari kerja kedai makan, jadi pengawal keselamatan dan juga tukang cuci sekolah. Saya tidak pernah malu demi membesarkan anak-anak.
“Kini saya rasa lega bila tiga anak saya sudah bekerja sebagai tukang cuci sekolah, walaupun gaji tak besar, namun cukup buat kami sekeluarga. Perhatian saya kini difokuskan kepada dua orang anak saya yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran iaitu anak sulung, Nazarina Wahab, 40, dan Mahathir Wahab, 31,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini hari ini.
Maziya berkata, dua anak anaknya itu lahir dalam keadaan normal dan hanya disedari mengalami masalah dari segi tingkah laku yang terlalu agresif serta sukar dikawal sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sekolah rendah.
Sejak daripada itu, anaknya dimasukkan ke kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan kini Nazarina mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi membolehkan anaknya itu menjalani pelbagai aktiviti serta pembelajaran.
“Menjaga anak OKU ini memerlukan kesabaran yang tinggi dan mereka juga sebenarnya anak-anak yang tidak berdosa.
“Selagi ada kudrat saya, saya akan jaga mereka dengan baik malah saya harap individu yang memiliki anak OKU ini juga akan sentiasa dikurniakan kesabaran yang tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE