JOHOR BAHRU: Bekas guru kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bangga atas inisiatif dan usaha berterusan baginda dalam membantu rakyat khususnya golongan yang memerlukan di seluruh negeri ini.
Hun Heng Juan, 84, yang merupakan guru Matematik Sultan Ibrahim ketika bersekolah tingkatan 5 di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) memberitahu, baginda adalah seorang murid yang menghormati guru.
Katanya, walaupun baginda merupakan anak raja, namun amat merendah diri ketika bergaul dengan guru-guru dan rakan-rakan di sekolah.
“Baginda juga amat berkemahiran di dalam seni dan saya juga amat gembira kerana Sultan Johor sentiasa mengenang jasa guru-guru dan tidak pernah melupakan kami,” katanya kepada Royal Press Office dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Seorang lagi guru yang pernah mengajar baginda, Seah Char Bow, 79, pula berkata, Sultan Ibrahim merupakan seorang individu yang amat dekat di hati rakyat.
“Sejak di sekolah saya amat rapat dengan baginda kerana merupakan seorang murid yang sentiasa menghormati guru-guru.
“Kami amat gembira kerana dapat bertemu dengan baginda pada hari ini dan perbualan banyak berkisar mengenai kenangan-kenangan manis di sekolah,” ujarnya.
Tambah Char Bow, mereka turut kagum dengan usaha baginda yang banyak membantu rakyat tanpa mengira agama dan bangsa menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Heng Juan dan Char Bow dan meluangkan masa hampir sejam beramah-mesra bersama kedua-dua guru selain turut mengambil gambar kenangan bersama. -UTUSAN ONLINE