SETIU: Bapa kepada murid tahun empat yang maut dirempuh Perodua Myvi ketika menaiki basikal elektrik di Jalan Bukit Putera di sini semalam sempat memegang tangan anaknya sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhir.
Azman Awang berkata, hatinya pilu melihat keadaan Muhammad Adif Danial, 10, berlumuran darah dengan kaki yang sudah hancur akibat kemalangan itu.
Katanya, kejadian itu hanya disedari selepas terdengar bunyi pelanggaran yang kuat dari rumahnya yang terletak berdekatan.
“Saya pergi ke sana dan terkejut apabila nampak anak saya yang dilanggar, pada masa itu dia masih lagi bernafas tetapi nadinya lemah.
“Saya mahu mengangkat mangsa tetapi orang ramai tidak benarkan kerana kakinya sudah hancur, jadi saya cuma sempat pegang tangannya sebelum dia pergi buat selamanya,” katanya kepada pemberita semalam.
Kejadian kira-kira pukul 7.10 malam itu, turut mengakibatkan abang saudara Muhammad Adif Danial iaitu Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13, yang juga penunggang basikal elektrik berkenaan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Setiu.
Menurut Azman, menjadi rutin anak keduanya keluar bermain bola di padang berdekatan bersama sepupu, pada setiap petang.
Katanya, semalam kedua-dua mangsa meminta izin ke padang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak sebelum mereka dilanggar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Affandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi yang hilang kawalan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh basikal elektrik dinaiki dua sepupu berkenaan dan Proton Wira yang diparkir di bahu jalan.
Katanya, pelanggaran menyebabkan Proton Wira itu menggelongsor lalu terlanggar pejalan kaki, Azuka Muhamad, 46, hingga mangsa terpelanting ke atas Proton Persona dan ditemukan maut di lokasi kejadian. -UTUSAN ONLINE