24 anggota pasukan penyelamat ditempatkan di pantai Langkawi - Utusan Malaysia

24 anggota pasukan penyelamat ditempatkan di pantai Langkawi

AHMAD Shahfikri Darus (dua dari kanan) dan anggotanya memeriksa peralatan yang digunakan sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar di Kompleks APM, Langkawi hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seramai 24 anggota penyelamat pantai daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Langkawi akan ditempatkan di kawasan pantai di sini sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka melanda perairan ini bermula Khamis hingga Ahad nanti.

Pegawai APM Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, anggota pasukan penyelamat tersebut bertugas di tiga menara penyelamat pantai di sepanjang Pantai Chenang hingga ke Pantai Tengah di sini.

Menurutnya, sebuah bot turut ditempatkan di setiap menara penyelamat sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Anggota pasukan penyelamat pantai itu akan memantau keselamatan pengunjung yang melakukan aktiviti air di kawasan pantai tersebut,” katanya kepada pemberita di Kompleks APM Langkawi di sini hari ini.

Katanya, pihaknya akan menaikkan bendera merah sekiranya paras air semakin dalam dan membahayakan pengunjung atau cuaca semakin buruk.

“Kalau bendera merah dinaikkan, pengunjung tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti air di pantai tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, kalangan pengunjung diminta sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air terutama di Pantai Chenang di sini berikutan fenomena air pasang besar akan berlaku dalam tempoh tersebut.

“Kita memohon kepada semua pengusaha sukan pantai dan pengunjung untuk melihat bendera yang kita akan letakkan di menara penyelamat pantai sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Jelasnya, air pasang besar dijangka mencapai kemuncak pada Sabtu ini apabila paras air laut dijangka meningkat sehingga ke kawasan menara penyelamat pantai. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya