SHAH ALAM: Warga Lembah Klang boleh menyimpan bekalan air mulai sekarang berikutan gangguan bekalan air berjadual akan berlaku esok.
Sebanyak 998 kawasan yang tersenarai bakal mengalami gangguan berkenaan dalam Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Bagaimanapun, pelbagai persediaan sudah pun dilakukan penduduk terlibat untuk menghadapi gangguan bekalan air yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini berikutan penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) bermula pukul 9 pagi.
TInjauan Utusan Malaysia hari ini di sekitar Seksyen 18 dan 19 di sini melihat tong pelbagai saiz dijual untuk kegunaan tadahan air, malah kotak simpanan polisterin turut menjadi pilihan pengguna kerana harganya lebih murah sekitar RM10 setiap bekas.
Perkara itu dikongsikan seorang suri rumah yang tinggal di Padang Jawa, Klang, Khatijah, 59, yang memberitahu membeli bekas tambahan selain baldi seperti kotak polisterin sebagai persediaan akhir bagi menyimpan bekalan air.
“Semua bekas plastik seperti baldi dan besen sudah saya isi dengan air. Isi rumah saya enam orang, jadi bimbang jika stok simpanan air habis lebih cepat membuatkan saya membeli lagi tong air untuk mengisi air minuman selain gabus putih ini untuk mandi dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, penduduk setempat, Nor Aishah Ibrahim, 43, memaklumkan dia sekeluarga membuat persediaan sejak seminggu lalu sebagai langkah memastikan bekalan air untuk kegunaan sekeluarga dan anak-anaknya yang masih kecil.
“Hari ini saya beli bekas plastik bersaiz 95 liter untuk menyimpan air bagi memasak dan untuk minum. Keluarga yang mempunyai ramai anak kecil memang terkesan bila tak ada air. Jadi, saya memang sudah merancang awal sebagai persediaan untuk esok (hari ini),” jelasnya.
Bagaimanapun, tiada aduan mengenai peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga tong air ketika ini.
Harga tong air bersaiz dua liter dijual dengan harga RM22.90 dan deretan tong air turut diletakkan pada bahagian hadapan kedai untuk memudahkan orang ramai membuat perbandingan harga.
Selain tong air, terdapat beberapa jenis bekas plastik lain yang boleh dipilih. Antaranya bekas plastik bersaiz 95 liter dijual dengan harga RM49.90 serta bekas bersaiz 40 liter (RM39.90).
Tinjauan di Jalan Kebun, Seksyen 30 pula, kebanyakan kedai kehabisan stok tong air sejak beberapa hari lalu berikutan penduduk setempat sudah pun membuat persediaan lebih awal. -UTUSAN ONLINE