KANGAR : Sebanyak 64.11 kilogram sampah dikutip hanya dalam tempoh sejam setengah di sepanjang dua kilometer lokasi perkelahan Bukit Ayer di sini.
Antara jenis sampah yang dikutip oleh kira-kira 30 sukarelawan termasuk tiga kanak-kanak itu adalah bekas makanan dan minuman serta beg plastik.
Ketua Pahlawan Sampah Perlis, Rosnani Nazri berkata, kebanyakan sampah tersebut dikesan di tepi-tepi jalan selain longgokan sampah di bawah pokok lokasi berkenaan.
Katanya, situasi tersebut menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya tidak membuang sampah di kawasan sepatutnya masih rendah sekali gus mencemarkan lokasi pelancongan itu.
“Kesedaran masih rendah namun ada juga yang membawa sampah pulang, memasukkan ke dalam tong sampah sehingga penuh.
“Longgokan sampah di luar tong sampah menyebabkan monyet datang selerak sampah tersebut untuk mencari makan,” katanya kepada Utusan Malaysia pada program kutipan sampah di Bukit Ayer di sini, hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, lokasi perkelahan dan perkhemahan popular di negeri ini iaitu di Bukit Jernih dan Bukit Ayer di sini dicemari dengan sampah-sarap termasuk di dalam serta tepi sungai di kawasan pelancongan berkenaan.
Ekoran sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang serta meninggalkan sampah di kawasan berkenaan sekali gus boleh memberi kesan terhadap isu kesihatan seperti penyakit kencing tikus, ekosistem sungai terganggu serta mencemarkan imej pelancongan negeri ini.
Sebagai rekod, sebanyak 233.5 kilogram sampah dikutip oleh Pahlawan Sampah Perlis dalam tempoh enam kali aktiviti kutipan sampah di kawasan berkenaan sekali gus mengambarkan betapa seriusnya isu sampah di lokasi perkelahan popular tersebut.
Manakala, di lokasi-lokasi pelancongan utama di negeri ini, sebanyak 30.7 tan metrik atau 30,700 kilogram sampah telah dikutip sepanjang tempoh 2019 hingga 2021.
Ia melibatkan lokasi-lokasi seperti Bukit Ayer; Bukit Jernih; Empangan Timah Tasoh, Gua Sami; pesisir pantai Kuala Perlis dan banyak lagi kawasan-kawasan pelancongan lain.
Tambah Rosnani, orang ramai mesti mempunyai tanggungjawab membawa pulang sampah jika lokasi yang dikunjungi itu tidak mempunyai tong sampah. -UTUSAN ONLINE