KOTA BHARU: Kerajaan negeri serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) diminta mempertimbangkan untuk membenarkan lebih ramai umat Islam menunaikan solat Jumaat dan fardu, berbanding hanya 40 jemaah di seluruh negeri ketika ini.
Setakat ini, Kelantan satu-satunya negeri melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat itu manakala negeri lain sudah mula memberi kelonggaran termasuk membenarkan bilangan jemaah berdasarkan keluasan masjid serta syarat lengkap divaksin.
Semakan Utusan Malaysia mendapati negeri-negeri seperti Selangor, Sarawak, Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Kedah pula sudah mula membenarkan antara 100 hingga 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat dan fardu.
Pelbagai pihak berpendapat kelonggaran SOP masjid khususnya solat Jumaat wajar, mengambil kira Kelantan bakal beralih ke fasa tiga Program Pemulihan Negara (PPN), selain kadar vaksinasi dos pertama populasi dewasa negeri ini sudah mencapai 75 peratus.
Antaranya, aktivis kebajikan, Wan Muhammad Naif Wan Mohd yang menyifatkan had 40 jemaah sebagai tidak lagi relevan jika mengambil kira jumlah individu menerima suntikan vaksin yang sudah meningkat di negeri ini.
“Had 40 jemaah itu, kalau untuk solat Jumaat sebenarnya cukup-cukup untuk AJK masjid sahaja. Bagaimana pula dengan orang lain? Kalau tidak dapat beri kelonggaran ikut kapasiti masjid, sekurang-kurangnya kita harap had bilangan jemaah itu dinaikkanlah.
“Lagipun semua negeri kes harian Covid-19 lebih tinggi daripada Kelantan sudah mula memberi lebih banyak ruang kepada umat Islam untuk ke masjid. Kenapa pula kita di Kelantan masih pakai SOP ketat,” katanya di sini hari ini.
Usahawan, Mohd. Faizul Rohban Ahmad pula terkilan dan sedih terpaksa berebut-rebut mendapatkan ‘slot’ ke masjid yang sangat terhad ketika pelbagai sektor ekonomi menikmati pelbagai kelonggaran, ekoran peningkatan vaksinasi di seluruh negara.
“Di Pahang, pihak berkuasa bukan sahaja membenarkan solat Jumaat dan solat fardu ikut kapasiti masjid, malah individu yang belum divaksin atau lengkap dua dos pun dibenarkan solat berjemaah.
“Hairannya di Negeri Serambi Mekah yang rakyatnya sudah ramai lengkap dua dos suntikan vaksin, masjid masih tidak boleh dibuka mengikut kapasiti tertentu berdasarkan penjarakan fizikal satu meter,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, setelah hampir lima bulan berdepan SOP ketat hanya empat jemaah dibenarkan solat di masjid, had bilangan dinaikkan kepada 40 orang sejak 16 September lalu melegakan rakyat negeri ini.
“Walaubagaimanapun, Pemuda Kelantan menggesa pihak berkuasa memberi kelonggaran dari sudut had bilangan jemaah, khususnya untuk solat Jumaat daripada 40 orang, kepada 300 hingga 500 orang. Kita perlu biasakan diri kerana Covid-19 akan bertukar menjadi endemik,” katanya.
Pada 17 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan ribuan umat Islam di Kelantan yang teruja untuk solat Jumaat selepas SOP masjid dilonggarkan, terpaksa pulang hampa kerana kuota ditetapkan iaitu 40 jemaah, penuh sekelip mata, biarpun datang dua jam lebih awal. -UTUSAN ONLINE