Pesara sebak terima rumah sumbangan bekas majikan - Utusan Malaysia

Pesara sebak terima rumah sumbangan bekas majikan

MOHD. Mujib Ngah (dua, dari kanan) bersama Saiful Azmi Suhaili dan Abdul Karim Endut (kiri) selepas menerima replika kunci rumah sumbangan bekas majikannya di Kampung Baru Kertih di Kemaman, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang pesara, Mohd. Mujib Ngah, 68, sering mengimpikan untuk memiliki kediaman sendiri buat keluarganya berteduh sekurang-kurangnya sebelum dia menamatkan perkhidmatan pada 2008.

Namun, kekangan kewangan menyebabkan impian yang dipasang sejak sekian lama oleh bekas penolong pegawai pengeluaran di Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) itu tetap tidak mampu direalisasikan walaupun selepas bersara.

Mohd. Mujib berkata, sepanjang kehidupannya hingga kini, mereka sekeluarga sekadar mampu menyewa rumah sekali gus gagal menyediakan kediaman selesa buat keluarga.

“Selepas bersara pada 2008, selama 12 tahun saya dan isteri, Semek Saleh, 64, menumpang di rumah anak ketiga di Kampung Baru Kertih di sini sebelum memutuskan menyewa rumah lain sejak setahun lalu.

“Setiap bulan saya terpaksa membelanjakan RM500 untuk bayaran rumah sewa dan jika dipanggil melakukan kerja sambilan membetulkan paip dapatlah saya upah purata bernilai RM600 sebulan selain duit daripada anak-anak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, rezeki berpihak kepada Mohd. Mujib apabila dia terpilih sebagai penerima pertama bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Satu sekali gus membolehkannya memiliki kediaman tiga bilik bernilai RM60,000 sumbangan bekas majikannya, pada Ahad lalu.

Katanya, pemberian bantuan rumah itu sangat tidak diduga sekali gus bersyukur kerana dapat meringankan bebannya tanpa perlu lagi membayar sewa tinggi.

“Impian saya untuk memiliki rumah sendiri sudah lama terhenti dan menjangkakan akan kekal menyewa hingga ke akhir hayat.

“Terima kasih Satu atas hadiah yang cukup bermakna, walaupun sudah 13 tahun bersara tetapi masih mendapat perhatian pihak syarikat,” katanya.

Pemberian sumbangan rumah itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Abdul Karim Endut. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN