Persatuan pengguna perlu berganding bahu, urus isu harga, bekalan barangan - Utusan Malaysia

Persatuan pengguna perlu berganding bahu, urus isu harga, bekalan barangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu persatuan-persatuan pengguna di negara ini berganding bahu dalam menguruskan isu kenaikan harga dan bekalan barangan.

KPDNHEP menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, kerjasama itu amat diperlukan bagi memastikan isu kenaikan harga barangan ini tidak menimbulkan salah faham dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, kementerian ingin menasihati semua pihak agar mengambil sikap lebih bertanggungjawab dalam mengutarakan isu-isu yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat dan pengguna.

“Kementerian sentiasa mengambil berat setiap isu berkaitan fungsi dan tanggungjawabnya, namun, perlulah berlandaskan maklumat yang tepat dan sahih.

“KPDNHEP mengambil maklum laporan sebuah persatuan pengguna baru-baru ini berkenaan kenaikan harga barang seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 Oktober lalu.

“Namun begitu, didapati laporan berkenaan tidak merujuk kepada mana-mana lokasi atau premis dan barang keperluan yang khusus untuk membolehkan kementerian mengambil tindakan susulan,” katanya.

Katanya, kementerian sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri bagi memastikan isu kenaikan harga barangan keperluan dapat dikawal dan tidak membebankan rakyat.

Malah, katanya, Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) juga sentiasa membuat pemantauan dan analisis harga barang secara harian, mingguan dan bulanan di premis-premis peruncitan terpilih seluruh negara.

“Bahagian penguat kuasa pula kerap melaksanakan pemeriksaan secara berterusan di semua peringkat rantaian pengedaran iaitu di peringkat peladang,pengeluar,penternak, pengilang, pengimport, pembekal, pengedar, pemborong dan peruncit.

“Pemeriksaan dan pemantauan itu dilakukan menerusi beberapa operasi berkala termasuk Ops Catut 8.0, Ops Pasar, Ops Rantai 7.0 dan Ops Samar,” katanya.

Tambah kementerian itu, antara jenis barangan yang diperiksa adalah pakaian sekolah, kelengkapan elektronik, dan barang keperluan asas harian termasuk barangan basah seperti ayam, sayuran dan telur ayam, minyak masak, pelitup muka, kit ujian pantas antigen Covid 19 (ujian sendiri) dan sebagainya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN