Masjid guna hasil jualan kitar semula bantu anak yatim - Utusan Malaysia

Masjid guna hasil jualan kitar semula bantu anak yatim

MUHAMMAD Mufarizam Yahir (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim daripada wang hasil jualan barangan kitar semula Masjid Bandar Putra di Segamat, Johor. - UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Program jualan barangan kitar semula sambil menderma anjuran Masjid Bandar Putra bukan sahaja menggalakkan orang ramai menjaga persekitaran tetapi lebih bermakna apabila memanfaatkan 10 anak yatim.

Hasil jualan mencecah RM1,154.20 itu berjaya diperoleh melalui 1,900 kilogram (kg) pelbagai barangan kitar semula pada bulan lalu untuk disumbangkan kepada anak yatim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, di sini.

Penolong Setiausaha Masjid Bandar Putra, Muhamad Mufarizam Yahir, 38, berkata, sebahagian hasil kutipan jualan tersebut disumbangkan kepada anak-anak yatim terbabit, manakala sebahagian lagi dimasukkan ke tabung masjid.

“Sumbangan dalam bentuk wang tunai bernilai RM50 diberikan kepada setiap seorang anak-anak yatim ini.

“Tidak ketinggalan juga bakul makanan diberikan oleh pihak masjid yang mengandungi barangan seperti beras, minyak masak, tepung gandum, gula, bihun dan lain-lain lagi.

“Sedikit sumbangan dari pihak masjid ini diharap dapat mengukir senyuman di wajah anak-anak yatim itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Muhamad Mufarizam juga memaklumkan, hasil jualan bulanan program kitar semula itu disumbangkan kepada golongan sasar yang berbeza.

“Segala usaha ini adalah kerja keras jawatankuasa, Geng Rakan Muda masjid dan ahli kariah Masjid Bandar Putra,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Bandar Putra, Abdul Malek Ramli berkata, pada bulan Julai, pihak pengurusan telah menyumbangkan hasil kutipan kepada seramai 37 golongan asnaf di sekitar itu.

Katanya, pada bulan Ogos pula mereka memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra yang turut berada di bawah kariah masjid berkenaan.

“Kutipan program jualan barangan kitar semula sambil menderma di Masjid Bandar Putra akan dilakukan setiap hari Sabtu minggu ketiga dan telah bermula sejak tiga tahun lalu.

“Pelbagai barangan kitar semula seperti kotak dan kertas, plastik, besi, bateri, tin aluminium, televisyen, peti sejuk dan lain-lain lagi dikumpulkan di dalam sangkar khas kitar semula yang terletak di pekarangan masjid,” katanya.

Ujar beliau, kebanyakan barangan itu disumbangkan kariah Bandar Putra IOI dan penduduk di sekitar Segamat di mana selain mengamalkan aktiviti kitar semula, mereka juga secara tidak langsung menderma kepada tabung masjid. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya